Adab bermusafir kembali ke kampung sempena raya

BERTAKBIR ketika mendaki bukit dan bertahmid ketika menuruninya merupakan amalan sunnah musafir. Foto Pexels
BERTAKBIR ketika mendaki bukit dan bertahmid ketika menuruninya merupakan amalan sunnah musafir. Foto Pexels
A
A
A

SEBELUM menyambut kedatangan 1 Syawal, tidak lengkap rasanya jika beraya tanpa ibu bapa dan adik-beradik di kampung.

Tidak kiralah sejauh mana pun tempat bekerja, perasaan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama kaum keluarga tidak dapat dipisahkan.

Walau terpaksa menempuh kesesakan jalan raya yang teruk sehingga berbelas-belas jam, perkara ini dilihat sudah biasa dan sebati dalam diri anak perantauan apatah lagi Aidilfitri disambut hanya sekali dalam setahun.

Bagi yang tinggal jauh dari perkampungan masing-masing, sudah tentu telah membuat perancangan dan persiapan awal agar perjalanan pulang menjadi lancar dan dipermudahkan ALLAH SWT.

Sinar Islam Plus menemu bual pendakwah, Dr Azmir Azri Ahmad mengenai adab-adab yang sepatutnya diamalkan oleh setiap Muslim ketika bermusafir kembali ke kampung halaman masing-masing.

DR AZMIR AZRI
DR AZMIR AZRI

Menurut beliau, umat Islam sering kali terhanyut dalam kegembiran dan keghairahan untuk pulang ke kampung untuk bertemu dengan orang tua dan sanak saudara hinggakan lupa akan adab-adab yang diajarkan Islam.

Artikel Berkaitan:

Berikut merupakan antara adab-adab yang perlu diterapkan dalam diri setiap Muslim yang bermusafir:

1 - Tetap menghormati bulan Ramadan

Janganlah lupa bahawa kita masih berada dalam bulan suci Ramadan. Ini adalah waktu yang diberkati dan penuh dengan kesempatan untuk meraih pahala.

Oleh sebab itu, tetaplah menjaga kesucian bulan ini dengan beribadah dan melakukan kebaikan.

Sebagai contoh, jika bermusafir selepas waktu Maghrib pada 10 Ramadan akhir, dianjurkan untuk mendengar ayat-ayat suci al-Quran atau isi masa dengan berzikir atau mendengar kuliah-kuliah agama sebagai halwa telinga.

2 - Menjaga adab-adab musafir

Semasa musafir, kita harus tetap mematuhi adab-adab yang telah diajarkan oleh agama kita.

Ini termasuk menjaga kesopanan, tidak menyebabkan gangguan kepada orang lain, dan tetap menjaga sikap yang baik dalam perjalanan serta tidak membuang sampah merata-rata.

Ketika berhenti rehat atau tumpang membuang air di tandas masjid atau surau, digalakkan untuk berhenti seketika untuk solat sunat dua rakaat tanda menghormati masjid berkenaan.

JAGALAH adab-adab ketika bermusafir seperti bersikap baik dan tidak mengganggu orang lain serta tidak membuang sampah merata-rata tempat. Foto Pexels
JAGALAH adab-adab ketika bermusafir seperti bersikap baik dan tidak mengganggu orang lain serta tidak membuang sampah merata-rata tempat. Foto Pexels

3 - Mengucapkan takbir dan tasbih

Memperbanyakan takbir dan tasbih. Dianjurkan ketika mendaki mengucapkan takbir dan bertahmid ketika menuruni bukit berdasarkan hadis yang diriwayatkan Jabir RA, dia berkata:

"Apabila kami mendaki maka kami bertakbir dan apabila kami turun maka kami bertasbih." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

4 - Berdoa sebelum dan selama perjalanan

Sebelum meninggalkan rumah, luangkan waktu untuk berdoa memohon keselamatan dan perlindungan dari ALLAH SWT serta bertawakkal kepada-NYA:

بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِالله

"Dengan nama ALLAH, aku bertawakal kepada-NYA. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah."

Doa seorang musafir merupakan salah satu doa yang mustajab di sisi ALLAH SWT. DIA akan memperkenankan doa-doa yang tulus. Maka dianjurkan berdoa sebelum menaiki kenderaan dan berdoa apa jua hajat semasa dalam perjalanan pulang atau bermusafir.

5 - Menunaikan solat di masjid tempat bermusafir

Dianjurkan apabila sudah mulai tiba ke destinasi, ucapkan syukur alhamdulillah dan kerjakan sujud syukur.

Dianjurkan juga sebaik sahaja tiba ke ke kampung halaman, disunatkan mengerjakan solat sunat qudum (ketibaan) di masjid atau surau yang berdekatan.

SOLATLAH sunat dua rakaat ketika berhenti membuang air dan rehat di masjid atau surau dalam perjalanan musafir. Foto Pexels
SOLATLAH sunat dua rakaat ketika berhenti membuang air dan rehat di masjid atau surau dalam perjalanan musafir. Foto Pexels

“Sebagai kesimpulannya, pulang ke kampung halaman adalah momen yang sangat dinantikan, namun janganlah kita lupa akan tanggungjawab agama sebagai musafir.

“Dengan menjaga adab-adab yang telah diajarkan, kita dapat menjalani perjalanan dengan penuh keselamatan dan mendapat keberkatan dari ALLAH SWT. Semoga kita semua diberikan keberkatan dalam perjalanan,” nasihatnya sebelum menutup bicara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!