Empat golongan dikecualikan tawaf wada'

Jemaah haji, umrah yang meninggalkan ibadah ini tidak berdosa dan tidak dikenakan dam

EMPAT golongan yang dikecualikan tawaf wada' dan mereka tidak berdosa serta tidak dikenakan dam. Gambar Pexels.com/Gambar kecil atas: Ustaz Tajul Urus/Gambar kecil bawah: Dr Sirajuddin Siswadi Putera
EMPAT golongan yang dikecualikan tawaf wada' dan mereka tidak berdosa serta tidak dikenakan dam. Gambar Pexels.com/Gambar kecil atas: Ustaz Tajul Urus/Gambar kecil bawah: Dr Sirajuddin Siswadi Putera
A
A
A

TAWAF merupakan perbuatan mengelilingi Kaabah secara berlawanan arah jam dan dilakukan sebanyak tujuh pusingan. Ia bermula dan berakhir di Hajarulaswad.

Sepanjang tawaf berlangsung, Kaabah akan sentiasa berada di sebelah kiri dan ibadah ini hanya boleh dilakukan di Masjidil Haram.

Pelaksanaan ibadah tawaf adalah sama seperti solat iaitu wajib suci daripada hadas dan najis.

Tawaf terbahagi kepada beberapa jenis iaitu tawaf qudum (tawaf sunat ketika memasuki Makkah), tawaf umrah, tawaf ifadah (tawaf wajib dan salah satu rukun haji), tawaf wada' (tawaf ketika hendak meninggalkan kota Makkah).

Tawaf wada’ adalah tawaf selamat tinggal dan ia dilakukan oleh jemaah haji atau jemaah umrah, termasuk penduduk kota Makkah bagi memuliakan dan menghormati Baitullah Al-Haram (Kaabah) sebelum mereka berangkat meninggalkan kota suci Makkah Al-Mukarramah untuk bermusafir.

TAWAF wada' adalah tawaf selamat tinggal yang dilakukan bagi memuliakan dan menghormati Baitullah Al-Haram (Kaabah) sebelum mereka berangkat meninggalkan kota suci Makkah Al-Mukarramah. Gambar Canva
TAWAF wada' adalah tawaf selamat tinggal yang dilakukan bagi memuliakan dan menghormati Baitullah Al-Haram (Kaabah) sebelum mereka berangkat meninggalkan kota suci Makkah Al-Mukarramah. Gambar Canva

Pelaksanaan tawaf wada' adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA. Beliau berkata:

Artikel Berkaitan:

"Tatkala manusia (yakni jemaah haji) beredar meninggalkan Makkah dari segenap penjurunya, maka Rasulullah SAW bersabda: "Jangan sekali-kali ada di antara kamu yang meninggalkan (kota Makkah) sehingga ia menjadikan akhir masanya (perbuatan terakhirnya) tawaf di Baitullah." (Hadis Riwayat Muslim)

Wajib tawaf wada'

Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’ tentang hukum mengerjakan tawaf wada’ kepada jemaah haji dan jemaah umrah.

Menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie seperti yang dijelaskan oleh Al-Baghawiy, Al-Mahamiliy dan Ar-Rafi’iy, hukum mengerjakan tawaf wada’ adalah wajib bagi setiap jemaah haji yang telah selesai menunaikan segala amalan hajinya, sebelum mereka bergerak keluar dari kota suci Makkah.

Demikian juga bagi jemaah umrah, menurut fuqaha Mazhab Syafie (pendapat yang asah atau lebih kuat) dan Mazhab Hambali, hukum mengerjakan tawaf wada’ adalah wajib sebagaimana ia diwajibkan kepada jemaah haji.

Sekiranya ditinggalkan tanpa uzur syarie, maka dia dikenakan dam tertib dan taqdir iaitu menyembelih seekor kambing.

Namun menurut fuqaha Mazhab Hanafi dan Maliki dan satu pandangan dalam Mazhab Syafie, hukum mengerjakan tawaf wada’ hanyalah sunat bagi jemaah umrah.

Walaupun begitu, dalam Mazhab Syafie adalah disunatkan kepada jemaah umrah yang meninggalkan tawaf wada’ tanpa sebarang keuzuran untuk menyempurnakan dam tertib dan taqdir iaitu menyembelih seekor kambing seperti mana jemaah haji.

Dikecualikan, tidak kena dam

Walaupun hukum asal bagi tawaf wada’ adalah wajib, namun dalam keadaan-keadaan tertentu, jemaah boleh dikecualikan daripadanya dan tidak dikenakan sebarang dam.

WALAUPUN hukum asal bagi tawaf wada’ adalah wajib, namun dalam keadaan-keadaan tertentu, jemaah boleh dikecualikan daripadanya dan tidak dikenakan sebarang dam. Gambar Pexels.com
WALAUPUN hukum asal bagi tawaf wada’ adalah wajib, namun dalam keadaan-keadaan tertentu, jemaah boleh dikecualikan daripadanya dan tidak dikenakan sebarang dam. Gambar Pexels.com

Ia adalah bersandarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan Al-Bukhari daripada Ibnu Abbas RA. Beliau berkata:

"Manusia (jemaah haji) diperintahkan agar menjadikan akhir masa mereka dengan (mengerjakan tawaf) di Baitullah, melainkan hanya wanita dalam haid diberi keringanan daripada mengerjakannya."

Terdapat pelbagai situasi yang telah dinyatakan oleh para fuqaha silam mahupun kontemporari yang membolehkan pengecualian diberikan kepada jemaah haji atau umrah daripada mengerjakan tawaf tersebut.

Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-40 Musim Haji 1445H yang bersidang pada 23 hingga 25 Oktober 2023 telah memutuskan empat dhawabit (parameter) utama pengecualian tawaf wada’ iaitu seperti berikut:

1 - Berada dalam keadaan berhadas besar iaitu haid, nifas dan istihadah dalam masa haid atau faqid at-tohurain iaitu tiada alat untuk bersuci samada air atau debu tanah.

2 - Berada dalam keadaan kesukaran (masyaqqah) dari segi kesihatan dan keselamatan diri serta harta seperti pesakit yang memerlukan rawatan yang rapi dan berjadual serta jemaah yang berada dalam keadaan daimul hadath yang kritikal.

Daimul hadath bermaksud seseorang yang sentiasa berhadas dan hadasnya tidak terputus dalam waktu solat sekadar dalam masa yang membolehkan dia bersuci dan bersolat.

3 - Berada dalam keadaan dihalang atau kebimbangan terhalang daripada tawaf wada’ atau urusan musafir termasuk disebabkan kesesakan luar jangkaan di Masjidil Haram.

4 - Kesibukan mengurus urusan jemaah iaitu bagi petugas haji dan umrah.

Kesemua jemaah haji dan umrah yang dikecualikan dari tawaf wada’ di atas adalah tidak berdosa dan tidak dikenakan dam.

USTAZ TAJUL URUS ABDUL HALIM

Timbalan Mufti Negeri Perlis merangkap Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

DR MOHD SIRAJUDDIN SISWADI PUTERA MOHAMED SHITH

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkap Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta) Tabung Haji.