Ops Pantau: KPDN kesan 9 kes langgar peraturan di Terengganu

Saharuddin (tiga dari kanan) memantau harga ikan yang ditawarkan di pasar raya runcit, Sabasun HypeRuncit di Bukit Kecil, Kuala Terengganu.
Saharuddin (tiga dari kanan) memantau harga ikan yang ditawarkan di pasar raya runcit, Sabasun HypeRuncit di Bukit Kecil, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengesan sembilan kes yang melanggar peraturan sepanjang Ops Pantau dijalankan di di seluruh negeri bermula 12 Mac lalu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, daripada sembilan kes itu, lima kes terdiri daripada kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Selain itu, katanya, dua kes lagi adalah kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 serta masing-masing satu kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kesalahan-kesalahan ini dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 1,806 premis di seluruh Terengganu sehingga 4 April lalu.

"Antara pemeriksaan yang dijalankan dalam Ops Pantau ialah memberi fokus terhadap bekalan barangan, harga barang, jualan murah, alat timbangan, barang tiruan dan pematuhan perundangan halal," katanya.

Harga daging dipantau bagi memastikan ia menepati harga kawalan.
Harga daging dipantau bagi memastikan ia menepati harga kawalan.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Terengganu di pasar raya Sabasun HyperRuncit, di sini pada Sabtu.

Katanya, seramai 11 anggota penguat kuasa dan 58 pegawai pemantau menjalankan pemeriksaan di bazar Ramadan, pasar raya, pasar awam dan kedai runcit di seluruh negeri itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau mengingatkan peniaga supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Saharuddin memegang seekor ayam ketika tinjauan dbahagian bahan mentah di pasar raya tuncit itu.
Saharuddin memegang seekor ayam ketika tinjauan dbahagian bahan mentah di pasar raya tuncit itu.

Jelasnya, Penguatkuasa dan Pegawai Pemantau Harga akan terus memeriksa tahap pematuhan peniaga sepanjang skim ini berlangsung.

"Semua peniaga perlu mematuhi harga yang ditetapkan dengan melabelkannya dengan tanda harga berwarna merah jambu.

"Mana-mana yang didapati terlibat boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu.

"Bagi pihak syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28