[VIDEO] Pemungut barang terpakai didakwa cuba rasuah RM500

A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang pemungut barangan terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan cuba memberi rasuah wang RM500 kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) tahun lalu.

Tertuduh, Lee Swee Huat, 55, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Swee Huat dituduh melakukan kesalahan tersebut di Jalan Perlaluan Makmur 73, Taman Damai Jaya, Johor Bahru, sekitar jam 2.30 petang pada 26 Jun 2023.

Swee Huat tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu
Swee Huat tiba di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu

Swee Huat dilaporkan cuba memberikan rasuah sebanyak RM500 kepada seorang Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) supaya tindakan undang-undang tidak dikenakan terhadap syarikat Swee Huat Enterprise atas kesalahan meletakkan barangan lusuh di tempat awam, tanpa kebenaran MBIP.

Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, kemudiannya mencadangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dikenakan terhadap Swee Huat, selain pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM, Johor.

Peguam tertuduh, Mohamad Azrulsani Othman kemudiannya memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 susulan tertuduh dikatakan mempunyai masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis selain tertuduh tidak mempunyai pendapatan yang tetap.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu menyerahkan passport antarabangsa ya kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Johor Bahru, sekali setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rais Adha Ramli, dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Zahida Muhamad Rozi, mengikut Seksyen 17 (B) Akta SPRM 2009.

Sebutan semula kes adalah pada 5 Mei 2024.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28