MUIS tuntut permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam

Laporan Sinar Harian pada Rabu lepas. Gambar kecil: Yahya
Laporan Sinar Harian pada Rabu lepas. Gambar kecil: Yahya
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah menghantar surat tuntutan permohonan maaf secara terbuka kepada penyebar tuduhan supaya membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak MUIS dalam tempoh 24 jam.

Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, surat tuntutan peguam itu dihantar pada Selasa bagi menjaga nama baik pihak MUIS susulan tuduhan yang tular di media sosial baru-baru ini.

"Sekiranya gagal berbuat demikian, saman akan difailkan serta-merta terhadap penyebar tuduhan-tuduhan tersebut bagi menuntut keadilan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Yahya berkata lagi, selain itu laporan polis juga telah dibuat pada Khamis lalu berhubung tuduhan yang diterima pihak MUIS.

Menurut Yahya, laporan polis tersebut dibuat bagi tujuan siasatan kerana tuduhan yang dilemparkan adalah jelas tidak berasas dan juga fitnah terhadap MUIS.

"Untuk rekod, pembahagian wang zakat untuk tahun 2023 menunjukkan jumlah kutipan wang zakat iaitu sebanyak RM141,181,101.74 telah dibahagikan kepada golongan asnaf iaitu membabitkan seramai 91,060 penerima.

"Golongan asnaf tersebut terdiri daripada fakir sebanyak 41.1 peratus, fisabilillah (17.9 peratus), al-Riqab (17.6 peratus), golongan miskin (11.1 peratus), Amil (9 peratus), mualaf (2.8 peratus), al-Gharimin (0.3 peratus) dan Ibnu Sabil (0.2 peratus)," jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Yahya menegaskan bahawa pihak MUIS sentiasa terbuka terhadap sebarang proses siasatan oleh pihak berkuasa sama ada daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) ataupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel Berkaitan:

"Ini bagi memastikan imej dan integriti MUIS dalam urusan pentadbirannya kekal bersih tanpa adanya sebarang unsur salah guna kuasa seperti yang didakwa," katanya.

Sinar Harian pada Khamis lalu melaporkan MUIS tampil menafikan tuduhan bahawa terdapat salah guna kuasa dalam pentadbiran MUIS.

Penafian itu merujuk kepada tuduhan yang tular di laman sesawang dan media sosial mendakwa bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUIS telah membuat beberapa arahan pembayaran bonus kepada kakitangan MUIS dengan menggunakan sumber Tabung Zakat tanpa proses kelulusan.

Tuduhan tersebut juga turut mendakwa kononnya CEO MUIS telah mengarahkan pemindahan wang Tabung Zakat ke Tabung Am (Pengurusan) berjumlah RM14 juta tanpa proses kelulusan.