Mesyuarat tergempar bincang isu sensitiviti kaum, agama

Dr Mohd Na'im, Aaron
Dr Mohd Na'im, Aaron
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) yang diuruskan oleh Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat tergempar berkaitan isu sensitiviti kaum dan agama.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam satu kenyataan bersama berkata, perkara itu penting bagi mengambil langkah-langkah segera dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.

Pada masa sama, mereka turut mengutuk sekeras-kerasnya kesemua insiden polemik perkauman dan agama yang mengganggu gugat keharmonian rakyat.

“Sejak beberapa minggu ini, negara terus menerus dilanda dengan pelbagai insiden berhubung sensitiviti agama dan perkauman termasuk yang terbaru di KK Mart, Kuching yang disebabkan oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

“Pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Pihak yang terlibat perlu dihukum dengan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kedua-dua menteri berkenaan turut memberikan amaran tegas kepada kesemua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman yang lampau sehingga mewujudkan ketegangan sosial dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia.

Selain itu, mereka juga mengulangi pendirian menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat perlu sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai-nilai hidup yang merupakan tanggungjawab setiap rakyat bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi serta permusuhan,” jelas kenyataan itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28