Perbicaraan kes 1MDB terpaksa ditangguh selepas Najib disahkan cirit-birit

Najib (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi, pada Selasa. Foto Bernama
Najib (tengah) ketika hadir bagi prosiding sambung bicara kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terpaksa ditangguhkan pada Selasa selepas bekas Perdana Menteri itu disahkan mengalami cirit-birit.

Pegawai Perubatan Klinik Penjara Kajang, Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa beliau telah memeriksa Najib yang mengadu sakit perut dan telah ke tandas sebanyak tiga kali pagi tadi.

Doktor itu telah diminta memberi penjelasan mengenai keadaan kesihatan Najib oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib yang dimaklumkan oleh pihak berkuasa penjara berkaitan perkara itu ketika mahkamah berhenti rehat.

"Najib kelihatan agak lemah, keletihan dan dehidrat. Saya telah memberikan beliau preskripsi ubat buscopan, lomotil dan garam rehidrasi oral,” katanya sambil menambah tekanan darah Najib juga agak rendah.

Sequerah kemudian menyoal sama ada Najib mampu menjalani prosiding perbicaraan hari ini dan Dr Mohd Hafiz berkata, ubat-ubatan yang diberikan mungkin menyebabkan rasa mengantuk dan Najib perlu berehat sekurang-kurangnya dua hari.

Bagaimanapun, hakim itu berkata, beliau akan menangguhkan prosiding hari ini namun perbicaraan perlu diteruskan esok dan meminta Dr Mohd Hafiz mengeluarkan sijil cuti sakit kepada Najib untuk hari ini.

Terdahulu, semasa soal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, bekas peguam am 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan berkata Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB mengikut secara membuta tuli dan mengiyakan apa sahaja yang Najib, sebagai pemegang saham tunggal syarikat itu, telah luluskan mengikut Artikel 117 Memorandum & Artikel Persatuan (M&A).

Bagaimanapun, Muhammad Shafee menafikan dakwaan itu dan menyoal saksi ke-50 pendakwaan tersebut sama ada BOD tidak menggunakan akal fikiran mereka sehingga terpaksa mengikut Najib secara membuta tuli dalam apa jua keputusan yang diambil beliau.

Artikel Berkaitan:

Bagi menjawab soalan itu, Loo berkata "Artikel 117 memerlukan kelulusan PM (Perdana Menteri) bagi transaksi besar."

Muhammad Shafee: Anak guam saya, yang juga Menteri Kewangan ketika itu, telah melakukannya mengikut lunas undang-undang, beliau telah mengambil maklum kenyataan pengarah dan memberikan kelulusan sebagaimana yang tercatat dalam Artikel 117 sebagai pemegang saham, jadi di mana ketakkonsistenannya?

Jasmine: Meskipun tidak dinyatakan, secara keseluruhan ia adalah sama. 1MDB melayan beliau sebagai pemegang saham dan dalam kapasitinya sebagai Perdana Menteri.

Untuk rekod, Artikel 117 menyatakan bahawa PM mempunyai kata putus kepada pindaan M&A atau pelantikan dan pemecatan pengarah serta pengurusan tertinggi 1MDB.

Ia turut menyatakan bahawa sebarang keputusan mengenai pelaburan, kewangan dan penstrukturan membabitkan kepentingan syarikat yang berkait rapat dengan sebarang kepentingan negara, keselamatan serta dasar kerajaan perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada PM.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan (sebagai Perdana Menteri) untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28