Dua misi ke Jepun jana potensi pelaburan RM29.6 bilion, eksport RM2.8 bilion

Tengku Zafrul - Foto fail Bernama
Tengku Zafrul - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua misi ke Jepun yang diadakan sejak Jun 2023 berjaya meraih potensi pelaburan dan eksport masing-masing bernilai RM29.6 bilion dan RM2.8 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataannya pada Selasa berkata, misi berkenaan juga menjana potensi pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM6.6 bilion dan eksport bernilai RM700 juta menerusi misi perdagangan dan pelaburan ke Jepun baru-baru ini.

"Misi menerusi usaha agensi-agensi MITI, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun di sini dengan delegasi Malaysia diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"MITI dan agensi-agensinya telah mengatur mesyuarat meja bulat antara Perdana Menteri dan 25 pemimpin industri Jepun selain mesyuarat berasingan dengan ROHM Wako, NEC Corporation dan Mitsui & Co Ltd,” katanya.

Pada masa sama, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz turut mengadakan pertemuan masing-masing dengan pihak Miyoshi Oil and Fat Co Ltd, Marubeni Corporation, Nichicon Corporation dan Itochu Corporation.

"Kebanyakan daripada pelaburan baharu ini adalah daripada sektor-sektor yang kita sasarkan, termasuk tenaga boleh baharu, elektrikal dan elektronik, bahan kimia dan ekonomi digital yang seiring dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan hasil yang diharapkan.

"Kita berjaya menarik pelaburan yang akan menyokong misi untuk mengguna pakai teknologi dan pendigitalan bagi memacu inovasi, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan peluang baharu pertumbuhan ekonomi serta penyahkarbonan bagi sektor pembuatan,” kata Tengku Zafrul.

Beliau turut berkongsi tekad MITI untuk memastikan kesemua pelaburan terbabit dalam direalisasikan secepat mungkin bagi menyuntik lebih banyak peluang bagi perusahaan kecil dan sederhana serta pekerjaan dengan gaji lebih tinggi bagi rakyat negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Bagi tujuan itu, pelbagai kelulusan pelaburan baik di peringkat persekutuan dan negeri, telah dipercepatkan melalui Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pelaburan dan Perdagangan (ITACC) dan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaburan (ICCM)," kata Tengku Zafrul. - Bernama