Mayat wanita dikerat: Mangsa mungkin dibunuh di lokasi lain - Polis

Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi mayat mangsa ditemui.
Sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi mayat mangsa ditemui.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis tidak menolak kemungkinan mangsa yang dikerat anggota badannya telah dibunuh di lokasi lain sebelum potongan anggota tubuhnya dibuang di kawasan Taman Indah Permai, Sepanggar, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Syed Lot Syed Ad Rahman berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi mayat mangsa ditemui.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai Indah Permai.

"Kesemua bahagian yang dijumpai dipercayai milik seorang mangsa yang sama namun setakat ini, identiti masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah, Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) serta Unit Anjing Pengesan (K9) telah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi bagi tujuan pengumpulan bahan bukti dan membantu siasatan.

"Berdasarkan pemerhatian awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuh tersebut dibuang di kawasan rumah kedai berkenaan.

"Bagaimanapun, siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian, modus operandi kejadian serta individu yang terlibat," katanya.

Syed Lot berkata, mayat telahpun dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada jam 8.30 pagi Jumaat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, ASP Rahman di talian 012-310 6882 atau boleh terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 dan segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan.

"PDRM memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan penduduk di sekitar taman tersebut digemparkan dengan penemuan mayat dipercayai seorang wanita dikerat.

Mayat tersebut ditemui pekerja lori sampah yang sedang menjalankan kerja pembersihan di kawasan tersebut.

Difahamkan, keadaan mayat yang ngeri apabila anggota badannya dikerat beberapa bahagian dan dimasukkan ke dalam plastik sampah berwarna hitam.

 

 

Ringkasan AI

  • Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dikerat anggota badannya di lokasi lain sebelum dibuang di Taman Indah Permai, Sepanggar
  • Pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu sedang menjalankan siasatan
  • Pasukan Forensik PDRM, Unit Forensik HQE I dan Unit Anjing Pengesan melakukan pemeriksaan terperinci di lokasi
  • Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HQEI untuk bedah siasat
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana pembunuhan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!