Elak kes rasuah pegawai kanan polis lindungi kegiatan haram berulang

Laporan Sinar Harian pada 25 Mac lalu.
Laporan Sinar Harian pada 25 Mac lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kes melibatkan pegawai kanan polis yang ditahan kerana menerima suapan bagi melindungi kegiatan haram di ibu negara baru-baru ini perlu dijadikan sebagai rujukan bagi mengelakkan perkara yang sama tidak berulang.

Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, rakyat Malaysia berhak mendapat kesejahteraan ekonomi hasil daripada kecekapan dan ketulusan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas.

"Jika kita lihat suapan yang diambil oleh pegawai terbabit bukanlah satu jumlah kecil malahan melibatkan jutaan ringgit.

"Kegiatan yang tidak bermoral itu mungkin telah dirancang rapi dan dilakukan bersama oleh sekutu mereka bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan aktiviti tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, berkemungkinan besar aktiviti itu tidak dijalankan secara solo.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan bahawa pegawai itu tidak bergerak sendirian dalam menerima suapan dan melindungi kegiatan terbabit, selain disyaki wujud penglibatan pegawai polis yang lebih senior.

Sebelum ini, SPRM menahan seorang pegawai kanan polis dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram di sekitar Kuala Lumpur.

Lelaki berusia 40-an itu disyaki menerima suapan antara 2021 hingga 2024 daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram melibatkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme di sekitar Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Hasil penahanan ke atas suspek, SPRM turut menemukan sejumlah wang bernilai lebih RM2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.

Tambah Hamdan Daniel, kegiatan itu tentulah melibatkan pegawai polis sama ada senior atau junior bagi memastikan ia tidak dikesan.

"Kita mahu Malaysia bebas dari rasuah.Jangalah oleh kerana nila setitik rosak susu sebelanga," jelasnya.