Perbaiki kelemahan, tingkat kawalan pintu masuk negara

Kawalan di pintu masuk sama ada udara, laut dan darat sangat penting untuk menapis kemasukan orang luar yang tidak sepatutnya. Foto Bernama
Kawalan di pintu masuk sama ada udara, laut dan darat sangat penting untuk menapis kemasukan orang luar yang tidak sepatutnya. Foto Bernama
A
A
A

BERITA seorang lelaki warga Israel ditahan polis di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru, ternyata menggemparkan negara.

Dalam kes tersebut, turut dirampas ialah dua pasport iaitu pasport Perancis yang digunakan suspek untuk masuk ke Malaysia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Mac lalu, serta satu pasport Israel.

Suspek mendakwa datang ke Malaysia untuk membunuh seorang lagi lelaki Israel kerana pertikaian keluarga. Walaupun apa alasannya, dakwaan lelaki tersebut tidak boleh dipercayai sepenuhnya.

Cuma persoalannya, bagaimana seorang rakyat dari negara yang dilarang memasuki negara ini boleh bolos untuk melakukan jenayah di Malaysia?

Ramai yang mempersoalkan sejauh mana tahap pemeriksaan dan kawalan keselamatan di semua pintu masuk di negara ini.

Kawalan di pintu masuk sama ada udara, laut dan darat sangat penting untuk menapis kemasukan orang luar yang tidak sepatutnya.

Justeru, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mempunyai tugas besar untuk menyiasat perkara ini termasuk mengesan motif sebenar individu yang mempunyai dua kerakyatan ini.

Paling mengejutkan, lelaki warga Israel ini didakwa mengamalkan gaya hidup mewah di ibu negara sejak memasuki Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tidak hanya mendaftar masuk ke hotel lima bintang, suspek dikatakan sering membeli-belah di sebuah pusat beli-belah mewah di ibu negara sepanjang berada di negara ini.

Satu perkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah jumlah senjata yang dimiliki warga asing itu.

Bagaimanapun, polis sudah menahan sepasang suami isteri warga tempatan yang disyaki membekal senjata api tersebut.

Pasangan terbabit mengaku membeli pistol itu di negara jiran, Thailand untuk diserahkan kepada lelaki warga Israel itu.

Walau apa pun perkembangannya nanti, sekarang bukan masanya untuk menuding jari menyalahkan sesiapa terhadap perkara yang sudah berlaku.

Sebaliknya kes ini perlu dijadikan iktibar kepada pihak berkuasa memperbaiki kelemahan dan meningkatkan pintu masuk negara ini.

Beri ruang kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan kita sebagai rakyat Malaysia tidak sepatutnya membuat sebarang spekulasi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28