Pas tidak bersama gerakan boikot KK Super Mart

Gambar kanan: Ahmad Yahya
Gambar kanan: Ahmad Yahya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas tidak bersama dalam gerakan memboikot kedai serbaneka KK Super Mart susulan isu penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH baru-baru ini.

Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata, walaupun pendirian mereka berbeza, namun parti Islam itu tidak menyokong perbuatan mempersendakan kalimah ALLAH.

Menurutnya, isu boikot KK Super Mart itu tidak boleh disamakan dengan gerakan menolak entiti perniagaan milik Israel.

"Isu boikot produk Israel kerana ia sudah berkaitan langsung (perang Israel-Hamas) tetapi dalam isu KK Super Mart tiada kaitan langsung.

"Oleh itu Pas tidak ambil pendekatan untuk boikot. Kalau melihat ucapan atau ulasan daripada pemimpin Pas, tiada seorang pun pemimpin kami yang minta memboikot KK Mart.

"Cuma pimpinan Pas mahu tindakan tegas dikenakan kepada orang yang bertanggungjawab. Kalau sudah ada tindakan, saya yakin isu ini akan reda," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Mahabbah Media dan Berbuka Puasa bersama Dewan Ulamak Pas Pusat di Hotel Grand Barakah, Ampang pada Sabtu.

Pada 19 Mac lalu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa, supaya umat Islam memboikot KK Super Mart susulan isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH SWT di salah satu cawangan kedai serbaneka itu.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, tindakan memboikot itu tidak melibatkan isu 3R, sebaliknya untuk mempertahankan kesucian agama Islam yang dihina.

Mengulas lanjut, Ahmad juga tidak menolak terdapat kemungkinan wujud tangan ‘ghaib’ yang sengaja mencetuskan isu perkauman dan agama berhubung kalimah ALLAH.

“Kami tidak menolak mungkin wujud tangan ghaib dalam isu KK Super Mart ini dan ada pihak yang cuba cetuskan masalah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!