Stoking kalimah ALLAH: Pengasas KK Mart, isteri dan syarikat pembekal didakwa hari ini

Stoking yang tertera kalimah ALLAH mencetuskan kontroversi di negara ini.
Stoking yang tertera kalimah ALLAH mencetuskan kontroversi di negara ini.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui antara yang dijangka berdepan pertuduhan pada pagi ini, berhubung penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di kedai serbaneka berkenaan.

Menurut laporan berita tempatan, turut akan didakwa pemilik Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Chin Huat, di mana syarikat itu menjadi pembekal stoking berkenaan.

Pertuduhan akan dibacakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir dan Norazlin Othman.

Pendakwaan mengikut Seksyen 298 dan 109 Kanun Keseksaan (KK) masing-masing kerana dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam serta bersubahat.

Dua minggu lalu, sekeping gambar yang memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan menitahkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

Setakat Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 178 laporan di seluruh negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap isu penjualan stoking berkenaan.

PDRM turut menerima 30 laporan mengenai ketidakpuasan hati terhadap hantaran melalui Facebook mengenai isu sama.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28