KK Super Mart saman syarikat pengedar stoking kalimah ALLAH

KK Super Mart failkan saman RM38 juta kepada syarikat pengedar stoking kalimah ALLAH.
KK Super Mart failkan saman RM38 juta kepada syarikat pengedar stoking kalimah ALLAH.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart dan Superstore Sdn Bhd memfailkan tuntutan saman sekurang-kurang RM38 juta terhadap pengarah dan syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd atas pertuduhan pelanggaran kontrak, sabotaj serta kecuaian dalam membekalkan stoking tertera kalimah ALLAH.

Memetik laporan MalayMail, peguam kepada KK Supermart, Datuk David Gurupatham mengesahkan bahawa anak guamnya telah memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menurutnya, tuntutan saman sebanyak RM10.5 juta dikemukakan kerana tertuduh telah mencemarkan nama baik jenama terbabit manakala RM20.3 juta disebabkan pembatalan cadangan penyenaraian IPO di Bursa Malaysia selain ganti rugi teruk dan teladan serta kos lain.

“Tuntutan sivil ini difailkan terhadap Xin Jian Chang Sdn Bhd dan pengarahnya, Soh Chin Huat. KK Supermart meminta pengisytiharan mahkamah bahawa mereka telah mengganggu perniagaannya.

“Mereka diarahkan untuk membayar ganti rugi dan kami ingin elakkan kerugian lebih besar oleh perniagaan yang tidak sah.

“Dalam tuntutan sama, KK Supermart juga mahu mahkamah menilai kerugian sebenar keuntungan daripada purata pendapatan perniagaan sebanyak RM1.5 juta seminggu,” katanya pada Isnin.

Dua minggu lalu, tular sekeping gambar dimuat naik oleh pengguna media sosial yang memaparkan stoking berjenama Miranosock tertera perkataan ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway.

Perkara tersebut mencetuskan kontroversi dan mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang turut murka selain menitahkan masyarakat untuk sentiasa menjaga keharmonian negara serta tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum atau raja-raja.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, KK Super Mart sebelum ini telah tampil membuat permohonan maaf dengan serta-merta dan memberikan penjelasan berhubung insiden terbabit.

Sementara itu, KK Super Mart memaklumkan, Xin Jian Chang Sdn Bhd pada 5 Februari lalu telah memohon kebenaran untuk membekalkan penutup lengan dan pihaknya bersetuju agar ia dijual berdasarkan barangan konsainan.

Tambahnya, Xin Jian Chang Sdn Bhd didakwa memberikan keterangan bertulis mengenai penutup lengan berserta kod, tetapi mengatakan tidak pernah mendapat keizinan untuk penjualan stoking yang tertera kalimah ALLAH.

"Syarikat terbabit dikatakan sengaja meletakkan stoking tersebut pada rak tanpa pengetahuan sesiapa dan premis berkenaan hanya mempunyai seorang pekerja ketika itu sehinggakan tidak sempat memeriksa barangan.

"Mereka telah bertindak lalai dan melanggar kontrak hingga menyebabkan kerugian kepada KK Super Mart," ujarnya.

Terbaharu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa KK Super Mart dan pengarah syarikatnya akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

KK Super Mart failkan saman RM38 juta kepada syarikat pengedar stoking kalimah ALLAH.