PRU16: Sabah, Sarawak boleh tentukan pembentukan kerajaan

PAPAR - Kenyataan bahawa Sabah dan Sarawak berpotensi menjadi blok penentu dalam pembentukan kerajaan Persekutuan dilihat selari dengan realiti landskap politik semasa negara.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan bahawa Sabah dan Sarawak dengan jumlah kerusi sekitar 56 secara keseluruhan boleh memainkan peranan penting dalam menentukan kerajaan Persekutuan.
"Trend ini telah bermula sejak beberapa pilihan raya sebelum ini apabila tiada parti atau gabungan tunggal mampu membentuk kerajaan majoriti mudah secara bersendirian.
"Dalam keadaan ini, Sabah dan Sarawak berpeluang menjadi blok yang bukan sahaja membentuk kerajaan, tetapi juga menetapkan agenda teras kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat (SMK Pengalat) pada Sabtu.
Sebelum itu, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar diminta mengulas mengenai kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berhubung Sabah dan Sarawak menjadi blok penentu dalam PRU16.
Beliau menegaskan bahawa untuk Sabah benar-benar menjadi blok yang berpengaruh, gabungan parti tempatan perlu bersatu dan memiliki jumlah kerusi yang mencukupi.
"Jika kita masih berpecah, blok itu tidak akan menjadi kuat dan kita hanya akan menjadi pelengkap kepada kerajaan lain," katanya.
Armizan juga menekankan bahawa pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini menunjukkan kecenderungan menyokong parti tempatan.
Selain itu katanya, kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai blok penentu ini membuka peluang strategik bagi negeri untuk lebih berperanan dalam pentadbiran negara.
"Jika dimanfaatkan dengan betul, Sabah bukan sahaja menentukan kerajaan, tetapi juga dapat menetapkan agenda dan dasar yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat," ujarnya.
tamat
Ringkasan AI
- Sabah dan Sarawak berpotensi menjadi blok penentu dalam pembentukan kerajaan Persekutuan
- Keputusan PRU15 menunjukkan Sabah dan Sarawak boleh memainkan peranan penting dalam penentuan kerajaan Persekutuan
- Sabah dan Sarawak berpeluang menetapkan agenda teras kerajaan jika bergabung sebagai blok yang kuat
- Gabungan parti tempatan di Sabah perlu bersatu untuk menjadi blok yang berpengaruh
- Kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai blok penentu membuka peluang strategik bagi negeri berperanan dalam pentadbiran negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
