Tiga syarikat termasuk KK Super Mart didakwa esok

KK Super Mart antara tiga syarikat yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa, berhubung penjualan stoking bertulisan kalimah ALLAH baru-baru ini.
KK Super Mart antara tiga syarikat yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa, berhubung penjualan stoking bertulisan kalimah ALLAH baru-baru ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Syarikat KK Super Mart dan Supperstone Sdn Bhd serta pengarah syarikat berkenaan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam berhubung penjualan stoking kalimah ALLAH.

Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana telah sengaja berniat melukakan perasaan agama orang Islam dengan cara mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH di rak pameran bagi tujuan jualan.

Pada masa sama, Syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd dan pengarah mereka juga akan dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana telah bersubahat sebagai pembekal stoking bercetak kalimah ALLAH kepada KK Super Mart dan Superstore.

Dua minggu lalu, sekeping gambar yang memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan menitahkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

Setakat Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 178 laporan di seluruh negara berhubung ketidakpuasan hati terhadap isu penjualan stoking berkenaan.

PDRM turut menerima 30 laporan mengenai ketidakpuasan hati terhadap hantaran melalui Facebook mengenai isu sama.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: