'Sudah biasa berdikari sejak kecil'

Nurul Safika (tengah) dan rakan-rakan yang bersama Majlis Santuni Tautan Mahabah Bersama Anak Yatim Dan Asnaf Rumah Lilbanat Darul Naim, Banggol Judah pada Jumaat.
Nurul Safika (tengah) dan rakan-rakan yang bersama Majlis Santuni Tautan Mahabah Bersama Anak Yatim Dan Asnaf Rumah Lilbanat Darul Naim, Banggol Judah pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kehilangan ibu bapa sejak kecil menjadikan dua anak yatim dari Rumah Lilbanat Darul Naim, Banggol Judah di sini cekal menghadapi hidup dan mampu berdikari sejak kecil.

Nor Fatin Athirah Shafi dan Nurul Safika Ghazali, masing-masing berusia 13 tahun tiada masalah untuk tinggal bersama rakan di rumah anak yatim berkenaan kerana memahami kekangan yang dihadapi adik-beradik serta ahli keluarga lain.

Anak yatim piatu, Nor Fatin Athirah yang dihantar ke rumah jagaan itu pada usia sepuluh tahun tidak sempat bermanja dengan ibu bapanya yang meninggal dunia ketika dia masih muda.

Nor Fatin Athirah
Nor Fatin Athirah

"Bapa 'pergi' ketika saya Darjah 1 akibat penyakit raja satong manakala ibu meninggalkan kami setahun kemudian kerana penyakit sama," katanya ketika ditemui pada Majlis Santuni Tautan Mahabah Bersama Anak Yatim Dan Asnaf Rumah Lilbanat Darul Naim, Banggol Judah pada Jumaat.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu juga seronok tinggal di rumah anak yatim berkenaan kerana semua rakan-rakan sangat baik dan mereka mempunyai jadual bagi mengatur rutin setiap hari.

"Alhamdulillah saya boleh bangun awal jam 4.30 pagi setiap hari sepanjang Ramadan kerana rutin biasa juga perlu membuat persediaan sama untuk ke sekolah," katanya.

Sebagai anak bongsu, Nor Fatin Athirah memilih untuk pulang berhari raya bersama abang sulungnya, Mohd Saiful Shafi.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, semua penghuni Rumah Lilbanat Darul Naim, Banggol Judah sudah mempunyai pakaian untuk hari raya yang disumbangkan beberapa pihak dan individu berhati mulia.

Sementara itu, Nurul Safika yang baru setahun tinggal di rumah berkenaan selepas pemergian bapanya mengakui rakan-rakan banyak memberi semangat untuk dia berdikari.

Tambahnya, aktiviti harian bersama individu tertentu termasuk pempengaruh juga menjadikannya lebih gembira untuk bersama rakan-rakan di situ.

"Kami mendapat lebih banyak manfaat tinggal di sini kerana setiap hari ada solat berjemaah, peluang membaca al-Quran dan belajar bersama rakan-rakan senasib," katanya.

Bagaimanapun anak bongsu sepuluh beradik itu belum dapat membuat keputusan sama ada berhari raya bersama kakaknya di Jertih, Terengganu atau di rumah ibunya di Dabong, Kuala Krai.

Majlis Santuni Tautan Mahabah Bersama Anak Yatim Dan Asnaf Rumah Lilbanat Darul Naim, Banggol Judah anjuran Midea Group Team Pembangunan Usahawan.

Pengurus program, Noor Marliati Syamimah Zakaria berkata, majlis itu bertujuan berkongsi rezeki bersama 21 anak yatim berusia 11 tahun ke atas.

"Kami mahu melihat keceriaan mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri selain memanfaatkan peluang untuk bersedekah ketika Ramadan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!