Ibu bapa ada alasan enggan hantar anak ke sekolah kebangsaan

Foto hiasan. Gambar kecil: Syerleena
Foto hiasan. Gambar kecil: Syerleena
A
A
A

GEORGE TOWN - Corak sistem pendidikan yang pelbagai dan memberikan pilihan kepada ibu bapa adalah sebahagian realiti yang mesti diterima di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid berkata, oleh demikian, kita perlu memahami terlebih dahulu alasan ibu bapa enggan menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan.

"Saya meneliti usul yang dikemukakan Pemuda UMNO untuk mewujudkan sekolah satu aliran, dalam rangka merealisasikan cita-cita besar memupuk perpaduan dan persefahaman antara masyarakat berbilang kaum di tanah air kita yang tercinta.

"Kata kuncinya adalah ‘pilihan’. Ini merupakan prinsip asas demokrasi yang tidak memaksakan rakyat dengan satu corak pemikiran, dan meraikan kepelbagaian budaya dan ilmu yang wujud secara turun temurun dalam masyarakat.

"Malah ia memupuk identiti budaya yang pelbagai dan menjadi tunjang kepada identiti Bangsa Malaysia sejak dahulu lagi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Pemuda UMNO akan mengusulkan cadangan mewujudkan sekolah satu aliran kepada Kerajaan Perpaduan bagi menjamin keharmonian kaum di negara ini.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana rakyat Malaysia telah dibezakan sejak kecil oleh sekolah yang mewakili kaum tertentu seperti sekolah jenis kebangsaan cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan tamil (SJKT).

Kata beliau, pemansuhannya bakal menjadikan integrasi kaum semakin kuat dan mengukuhkan perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Syerleena mencadangkan agar Pemuda UMNO terlebih dahulu memahami mengapa sekolah vernakular menjadi pilihan sebahagian besar ibu bapa yang mahukan pendidikan berkualiti untuk anak-anak mereka termasuk mantan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

"Banyak faktor mengapa ibu bapa memilih sekolah vernakular antaranya masalah infrastruktur sekolah kebangsaan. Perkara sebegini hampir tidak pernah didengari di sekolah-sekolah vernakular. Dana diraih sendiri dan masalah infrastruktur diselesaikan sendiri.

"Kedua, masalah tenaga pengajar. Kekurangan tenaga pengajar membawa kepada populasi bilik darjah yang padat dan kemudiannya menyebabkan fokus kedua-dua tenaga pengajar dan pelajar melayang ke udara," katanya.

Tambah beliau, masalah sukatan pelajaran yang berubah-ubah atau ada masanya langsung tidak berubah dilihat sebagai faktor kegagalan mempersiapkan pelajar untuk mendepani cabaran dunia nyata hari ini.

"Sekolah-sekolah kebangsaan selalunya berdepan masalah kewangan dan sumber-sumber pengajaran termasuk bekalan buku teks, kemudahan makmal yang menjadi punca utama kurangnya motivasi pelajar untuk ke sekolah serta merendahkan kualiti pengalaman pendidikan mereka.

"Wujud jurang kualiti pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar (pedalaman) dalam struktur pendidikan kebangsaan yang membenih kesenjangan sosio-ekonomi bersangatan," katanya.

Sehubungan itu, Syerleena menasihatkan Pemuda UMNO supaya menyedari dan mengambil tahu bahawa sesungguhnya sekolah-sekolah vernakular memperkayakan landskap pendidikan di Malaysia.

"Kita juga tidak boleh terlepas pandang usaha-usaha untuk memperbaiki mutu pendidikan kebangsaan.

"Hanya dengan mengiktiraf kepelbagaian ini, mendepani cabaran-cabaran serta kelemahan dan menangani isu-isu yang dihadapi struktur pendidikan kebangsaan, maka Malaysia akan mampu menyerlahkan bakat muda demi masa depan yang cemerlang untuk anak-anak kita, serta mempersiapkan mereka untuk mendepani cabaran akan datang," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28