Pengusaha tempat letak kereta cekik darah, naikkan caj dua kali ganda

Caj parkir mahal bukan perkara baharu dan berlaku setiap kali Ramadan di kebanyakan tempat letak kereta milik persendirian. Foto 123RF
Caj parkir mahal bukan perkara baharu dan berlaku setiap kali Ramadan di kebanyakan tempat letak kereta milik persendirian. Foto 123RF
A
A
A

MASUK minggu kedua Ramadan, orang ramai sudah mula berpusu-pusu membeli kelengkapan raya.

Di Kuala Lumpur, lokasi yang setiap tahun menjadi tumpuan ialah Jalan TAR.

Orang ramai lebih suka singgah di waktu malam, mungkin kerana kesibukan kerja atau tidak mahu berpanas membeli-belah pada waktu siang.

Merak Jalanan juga seperti orang lain, meluangkan masa membeli baju raya di situ sambil mencuci mata melihat gelagat orang ramai.

Tapi biasalah, laluan akan sesak dan trafik bergerak perlahan kerana rata-rata orang ramai lebih gemar menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam.

Yang menjadi masalah ialah tempat letak kereta. Jadi, terpaksalah mencari tempat letak kereta milik persendirian.

Cuma yang mengecewakan Merak Jalanan, banyak pengusaha tempat letak kereta ini mengenakan caj cekik darah.

Misalnya, sebelum Ramadan dan awal bulan puasa, bayaran sekali masuk di sebuah tempat letak kereta milik persendirian ialah RM10. Tapi, sekarang naik kepada RM20.

Artikel Berkaitan:

Sudahlah ada antara tempat letak kereta itu hanya di kawasan luar yang jalannya tidak berturap dan tidak ada jaminan keselamatan.

Perkara ini bukan baharu dan berlaku setiap kali Ramadan di kebanyakan tempat letak kereta milik persendirian.

Merak Jalanan difahamkan, pengusaha letak kereta persendirian ini tertakluk kepada kadar caj yang diluluskan dalam lesen dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bermakna, tidak boleh menaikkan harga sesuka hati, apatah lagi kadar yang melampau.

Isu ini juga disuarakan netizen di media sosial, malah mereka mendakwa ada kawasan parkir yang sebelum ini percuma tetapi sekarang wujud ‘penjaga haram’ memungut bayaran.

Merak Jalanan berharap agar PBT tidak menutup mata terhadap isu ini. Jangan biarkan pihak mengaut untung mudah sehingga menekan rakyat.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28