Bazar Ramadan 'cekik darah': MBJB tiada kena mengena

Noorazam ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB pada Rabu.
Noorazam ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak bertanggungjawab terhadap Bazar Ramadan Taman Suria di sini yang didakwa menjual makanan pada harga yang mahal.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, isu itu tiada kena mengena dengan MBJB kerana bazar tersebut bukan dianjurkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebaliknya pihak swasta.

"Justeru, ini bukan bidang kuasa kita untuk mengambil tindakan, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) yang boleh berbuat demikian," katanya mengulas dakwaan punca harga makanan mahal di bazar itu disebabkan MBJB mengenakan sewa tapak yang tinggi.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB Bilangan 3/2024 di Dewan Inai Merah, Menara MBJB, Bukit Senyum di sini pada Rabu.

Pada Selasa, tular di Tik Tok, beberapa pengguna mendakwa harga makanan di Bazar Ramadan Taman Suria 'cekik darah' apabila burger dijual RM30, roti john dan ikan bakar sebesar tapak tangan masing-masing RM40 selain beg plastik dikenakan caj 50 sen.

Mereka yang berkongsi pengalaman membeli di bazar itu mendakwa harga makanan menjadi mahal kerana peniaga menyasarkan pelanggan dari Singapura dan bukan pelanggan tempatan.

Mengulas lanjut, Mohd Noorazam berkata, MBJB meluluskan 56 lokasi bazar Ramadan pada tahun ini dan telah melaksanakan pemantauan bagi memastikan penganjur serta peniaga mematuhi syarat dan peraturan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati 34 peniaga bazar tiada suntikan tifoid dan 31 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil 20(1) (II) UUK Pengendali Makanan MBJB 2010.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah keseluruhan kompaun bernilai RM7,750. Oleh itu, suka saya mengingatkan kepada semua peniaga makanan untuk memastikan pekerja pengendali makanan mendapatkan suntikan tifoid yang merupakan syarat utama dalam perniagaan asas makanan," tegasnya.

Katanya, kegagalan mendapat suntikan boleh menyebabkan risiko penularan penyakit demam kepialu yang boleh tersebar melalui makanan tercemar dengan bakteria selain mengurangkan risiko penyakit keracunan makanan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, PBT berkenaan sudah menyusun pelbagai program Local Agenda 21 MBJB sepanjang tahun ini dalam usaha mewujudkan pembangunan mampan dan inklusif di bandar raya ini.

Program-program itu ujarnya, disusun bagi menepati dan mencapai 17 sasaran Sustainable Development Goal (SDG) menerusi sembilan jawatankuasa yang telah ditubuhkan di peringkat MBJB.

Jelasnya, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh ahli majlis yang dilantik dan setiap jawatankuasa bertanggungjawab merangka program yang membawa manfaat secara langsung kepada masyarakat serta menepati sasaran SDG.

Justeru, katanya, MBJB kini membuka peluang dan menjemput semua badan kerajaan, bukan kerajaan, swasta, pertubuhan, persatuan dan organisasi lain untuk menjadi rakan strategik MBJB dalam menjayakan program yang telah disusun.

"Antara program yang disusun adalah Road to Raya MBJB, Penanaman Pokok Bakau, Festival Citra Johor Bahru 2024, Most Historical Art On Wall Tembok Tasek Utara, JB Harmony Festival, Karnival Pendidikan Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah dan lain-lain," tambahnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28