Tangkapan berlipat kali ganda, nelayan kembali ke laut

Nelayan saling membantu menolak bot untuk turun ke laut.
Nelayan saling membantu menolak bot untuk turun ke laut.
A
A
A

BACHOK - Cuaca baik dalam tempoh musim tengkujuh yang belum berakhir memberi peluang kepada nelayan di daerah ini kembali ke laut menangkap ikan dan udang selepas ‘berehat’ panjang.

Bahkan, hasil tangkapan yang diperoleh nelayan selepas tiga bulan tidak ke laut itu mencecah 20 hingga 30 kilogram (kg) sehari berbanding antara satu dan dua kg pada tempoh sebelum tengkujuh.

Seorang nelayan, Mahasan Mat Nor, 63, berkata, antara Oktober hingga awal Januari lalu, nelayan tidak berani turun ke laut kerana ombak di tengah-tengah lautan yang mencecah ketinggian lebih 20 meter.

“Kami menangkap ikan di kawasan sejauh 24 kilometer dari pantai dan ombaknya hampir menyamai ketinggian pokok kelapa 20 meter pada musim tengkujuh tetapi kini makin reda iaitu kurang daripada 10 meter tinggi.

“Kami dapat kembali ke laut mencari rezeki berbanding tidak mempunyai punca pendapatan langsung selama tiga bulan ini,” katanya.

Nelayan menurunkan bot untuk ke laut setiap pagi sejak seminggu lalu.
Nelayan menurunkan bot untuk ke laut setiap pagi sejak seminggu lalu.

Mahasan berkata demikian ketika ditemui pada Program Community Policing Ketua Polis Bachok bersama badan bukan kerajaan (NGO) Rakyat Dekat di Hati dan Persatuan Nelayan Kawasan Pantai Changgong di sini pada Ahad.

Seorang lagi nelayan, Mohd Fazil Ismail, 33, berkata, dia akan turun ke laut secara berkumpulan untuk kerja-kerja menangkap ikan bermula jam 7 pagi menggunakan bot fiber sepanjang 6.4 meter.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri; Mahasan, Mohd Fazil dan Mohd Nasir.
Dari kiri; Mahasan, Mohd Fazil dan Mohd Nasir.

Katanya, cuaca tahun ini berbeza daripada kebiasaan yang dihadapi nelayan pada tahun-tahun sebelumnya dan berharap keadaan baik tersebut berterusan hingga musim tengkujuh seterusnya.

“Tahun-tahun lalu, musim tengkujuh bermula Oktober dan berakhir pada Februari.

“Kali ini, ada tempoh senggang sebelum Februari dengan cuaca cerah membolehkan kami turun menangkap ikan dan tidak berehat terlalu lama bagi menyara keluarga,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Rakyat Dekat di Hati, Mohd Nasir Said berkata, pihaknya membantu nelayan dengan meringankan bebanan mereka melalui sumbangan barangan makanan ketika musim tengkujuh.

Nelayan kembali ke laut untuk menangkap ikan.
Nelayan kembali ke laut untuk menangkap ikan.

Katanya, kira-kira 200 nelayan dibantu dengan nilai sumbangan berjumlah RM20,000.

“Kami prihatin dengan kesusahan nelayan-nelayan bergadai nyawa meredah ombak mencari rezeki.

“Bantuan yang diberikan diharap dapat meringankan sedikit bebanan mereka sehingga musim tengkujuh tamat,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!