Sudah bayar hutang, along Singapura tetap tuntut bayaran 10 kali ganda

Kai Jie (kiri) dan Kah Eng menunjukkan gambar keadaan bahagian depan rumah di Johor Bahru dan Batu Pahat yang terbakar akibat perbuatan along dalam sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Stulang, Johor Bahru pada Ahad.
Kai Jie (kiri) dan Kah Eng menunjukkan gambar keadaan bahagian depan rumah di Johor Bahru dan Batu Pahat yang terbakar akibat perbuatan along dalam sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Stulang, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Gara-gara membuat pinjaman along di Singapura, seorang tukang masak yang bekerja di republik itu kini hidup dalam ketakutan apabila diburu dan diugut peminjam wang tanpa lesen itu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kai Jie, 19, berkata, ceti haram itu bertindak ganas apabila membaling bom petrol di rumahnya di Sri Setanggi di sini dan rumah neneknya di Taman Seri Wangi, Yong Peng, Batu Pahat.

Menurut Kai Jie, apa yang mengecewakannya dia sudah pun membuat bayaran keseluruhan pinjaman berjumlah SGD400 (RM1,400) namun dinafikan along terbabit.

"Saya membuat pinjaman SGD400 pada 13 Mac lalu. Semuanya bermula apabila saya tertarik dengan iklan pinjaman wang dalam Instagram sebelum membuat permohonan dan menerima wang tersebut. Menurut iklan itu saya hanya perlu membayar semula SGD550 (RM1,925).

Keadaan rumah mangsa yang terbakar akibat perbuatan khianat along membaling bom petrol.
Keadaan rumah mangsa yang terbakar akibat perbuatan khianat along membaling bom petrol.

"Dalam masa lima hari pada 18 Mac, saya telah membayar bayaran yang dituntut dengan membuat transaksi ke akaun berdaftar di Singapura dan menunjukkan bukti salinan resit transaksi kepada individu terbabit," katanya ketika membuat aduan di Pejabat Pusat Khdimat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chan Kah Eng di sini pada Ahad.

Kai Jie berkata, malangnya along terbabit mendakwa tidak menerima bayaran tersebut malah menuntut bayaran 10 kali ganda iaitu SGD5,500 (RM19,257).

Katanya, along itu kemudian bertindak agresif membaling bom petrol ke rumahnya dan neneknya yang mengakibatkan depan kediaman tersebut terbakar pada Khamis.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Susulan itu ujarnya, satu laporan dibuat abang dan ibu saudaranya di Balai Polis Majidee di sini dan Balai Polis Yong Peng pada hari sama kejadian berlaku.

Dia bukan sahaja menerima ugutan daripada nombor telefon berdaftar di Singapura melalui WhatsApp malah majikannya di republik itu turut menerima ugutan yang sama bagi memberi tekanan kepadanya untuk membayar hutang tersebut.

"Sindiket along ini turut meninggalkan nota di pagar rumah nenek di Yong Peng yang menyebut perbuatan khianat dengan api itu hanyalah permulaan dan meminta saya menghubungi lelaki dikenali sebagai Nick untuk selesaikan isu itu.

"Mereka turut mengugut jika saya gagal menjelaskan segera bayaran itu, jumlah tersebut akan digandakan kepada RM192,575 (SGD55,000). Saya jadi buntu tidak tahu apa diperlukan selain risau akan keselamatan ahli keluarga," ujarnya.

Keadaan bahagian hadapan rumah nenek mangsa di Taman Seri Wangi, Yong Peng, Batu Pahat, yang terbakar akibat perbuatan khianat dengan api oleh along.
Keadaan bahagian hadapan rumah nenek mangsa di Taman Seri Wangi, Yong Peng, Batu Pahat, yang terbakar akibat perbuatan khianat dengan api oleh along.

Sementara itu, Kah Eng berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan polis serta Konsulat Jeneral Singapura di Malaysia berhubung isu itu.

Dalam masa sama, Kah Eng turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai iklan pinjaman wang tidak berlesen dalam media sosial selain elak memberikan maklumat pengenalan diri dengan mudah.

"Hanya berpandu nombor kad pengenalan, akaun bank serta permit kerja mangsa, sindiket ini dapat mengesan maklumat peribadi ahli keluarga mangsa serta mengesan rumah neneknya di Yong Peng.

"Perkara ini amat membimbangkan betapa mudah sindiket ini memperoleh maklumat dan dijadikan bahan ugutan untuk menakut-nakutkan mangsa," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!