Perangan buluh laris sepanjang Ramadan

Hasbullah (kanan) dan Mohd Yusoff memotong buluh untuk dijadikan perangan.
Hasbullah (kanan) dan Mohd Yusoff memotong buluh untuk dijadikan perangan.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang peniaga ikan di Kampung Kubang Mas di sini sanggup menggantung tong ikannya dan mengambil peluang membuat perangan serta pencucuk kerana memperoleh keuntungan berganda sepanjang Ramadan.

Hasbullah Mohd Yusoff, 29, mula membuat perangan sejak empat tahun lalu selepas permintaan meningkat lebih 50 peratus daripada peniaga ikan bakar dan ayam percik ketika bulan puasa.

Hasbullah tidak berniaga ikan dalam tempoh dua bulan iaitu sebulan sebelum puasa dan sepanjang Ramadan untuk mencari buluh dan memproses perangan serta pencucuk.

"Saya tidak menang tangan untuk memotong dan meraut buluh kerana banyak tempahan diterima setiap hari termasuk dari Terengganu dan Pahang," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Selasa.

Hasbullah meraut buluh iaitu salah satu proses membuat perangan
Hasbullah meraut buluh iaitu salah satu proses membuat perangan

Sepanjang tempoh itu juga, kata Hasbullah, ramai pelanggan terutama peniaga ikan atau ayam bakar dan percik di bazar Ramadan sudah membuat tempahan dan datang mengambil stok perangan.

Setiap hari, Hasbullah dapat menghasilkan 1,600 perangan dan 1,200 pencucuk yang ditempah pelanggan.

Katanya, proses membuat perangan dan pencucuk tidak sukar tetapi cabarannya ketika mencari pokok itu yang kebanyakannya berada di pinggir hutan di sekitar kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, ada beberapa lokasi rumpun buluh yang menjadi sarang tebuan atau serangga berbisa lain termasuk ular.

Buluh yang panjang dipotong mengikut saiz yang ditempah pelanggan.
Buluh yang panjang dipotong mengikut saiz yang ditempah pelanggan.

"Kami perlu berwaspada bagi mengelakkan bahaya serangan serangga itu," katanya.

Dia dibantu pembantu, Azhar Mohamad, 53, menebang dan mengangkut buluh setiap dua hari sekali supaya permintaan pelanggan tidak tertunda.

Menurut Hasbullah, buluh yang sudah tua lebih berkualiti kerana tidak mudah lentur dan boleh diletakkan lebih lama di atas bara api ketika memanggang.

Berkongsi proses membuat perangan, bapa kepada tiga anak berusia antara tiga hingga lapan tahun itu memberitahu, buluh yang sudah dipotong akan diraut bagi membuang sembilunya yang tajam.

"Buluh kemudian dipotong kira-kira 30 sentimeter (cm) panjang untuk pelanggan yang menjual perut ayam percik, ketulan ayam bersaiz kecil dan lemak daging.

"Ada juga pelanggan meminta saiz 43cm untuk membakar ayam percik yang dipotong empat bahagian," katanya.

Hasbullah menunjukkan pemanggang yang siap diproses.
Hasbullah menunjukkan pemanggang yang siap diproses.

Anak bongsu sembilan beradik itu mula membuat perangan sejak empat tahun lalu selepas bapanya, Mohd Yusof Zakaria, 77, memberi idea meneruskan usaha yang dilakukan lebih 20 tahun lalu.

"Sebelum ini saya hanya membantu bapa dan pada hari biasa juga tidak banyak tempahan diterima berbanding menjelang Ramadan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!