Sewa tapak bazar Ramadan mahal punca kos peniaga meningkat - Anwar

Orang ramai meluangkan masa mengunjungi Bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka puasa. Foto Bernama
Orang ramai meluangkan masa mengunjungi Bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka puasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenaikan kadar sewa tapak bazar Ramadan menjadi punca kos operasi peniaga meningkat dan bukan disebabkan perubahan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu lebih ketara sekiranya peniaga berurusan melalui ejen berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jadi kita telah beri arahan, kalau kos sewa itu dikendalikan oleh majlis perbandaran, jangan tekan peniaga dalam keadaan sekarang.

“Sebahagian tapak majlis perbandaran itu diberikan kepada ejen-ejen, jadi akhirnya penyewa tidak menyewa secara langsung dari majlis perbandaran. Kos meningkat.

“Saya akui ada impak kecil kenaikan harga, tetapi saya tidak fikir kerana SST yang menyebabkan tingkat naik. Bazar Ramadan tidak ada kena mengena langsung dengan SST,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai kesan rantaian ekonomi secara umum terutama kepada peniaga bazar Ramadan.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan sedaya upaya mengurangkan kesan kenaikan cukai berkenaan terhadap rakyat.

Namun Ahli Parlimen Tambun itu mengakui terdapat kesan sampingan kecil yang mesti dikawal.

Artikel Berkaitan:

“Saya setuju kita harus terus pantau tetapi secara khusus perniagaan di bazar Ramadan ini, kebanyakan yang mengeluh ialah kerana kadar sewa tinggi.

“Pada pendapat saya, Majlis-Majlis Bandaran tidak ada sebab mengapa mengenakan sewa yang tinggi kepada bazar Ramadan,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28