Pesara guru wanita rugi RM1.22 juta tertarik keuntungan berganda

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pesara guru wanita kerugian lebih RM1.22juta selepas terpedaya dengan skim bursa saham yang tidak wujud menerusi media sosial September tahun lalu.

Mangsa berusia 70-an dan beralamat di Durian Tunggal dekat sini tertarik dengan tawaran terbabit setelah menyertai kumpulan aplikasi WhatsApp bursa saham yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pada 30 Oktober 2023 mangsa telah dicadangkan untuk menyertai pelaburan emas dan bitcoin yang menawarkan pulangan lumayan sebelum diberikan laman pautan untuk membuat pendaftaran.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah membuat 29 transaksi pelaburan berjumlah RM1.22juta ke dalam lapan akaun bank yang berbeza menggunakan wang simpanan persaraan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya bermula 14 November hingga 22 Disember lalu.

Beliau berkata, selepas itu mangsa tidak dibenarkan membuat sebarang pengeluaran wang keuntungan yang diperolehi, malah dijanjikan dengan pulangan keuntungan maksimum 30 kali ganda daripada jumlah pelaburan yang dibuat.

"Sehingga kini mangsa tidak dapat mengeluarkan wang keuntungan yang dijanjikan dan dia mula sedar dirinya telah terpedaya sindiket penipuan itu.

"Mangsa hadir membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada Khamis lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Arshad berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis menasihati orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan pelaburan yang ditawarkan dalam media sosial.

Artikel Berkaitan: