Rebut peluang ganjaran mendampingi al-Quran sepanjang Ramadan

DI samping berlumba-lumba untuk bertadarus dan khatam al-Quran, masukkan sekali aktiviti tadabbur kalamullah sebagai antara senarai amalan ketika Ramadan ini. -Foto: 123rf
DI samping berlumba-lumba untuk bertadarus dan khatam al-Quran, masukkan sekali aktiviti tadabbur kalamullah sebagai antara senarai amalan ketika Ramadan ini. -Foto: 123rf
A
A
A

SAMA ada khatam ataupun bertadarus al-Quran, kedua-duanya termasuk sebagai ibadah yang cukup hebat dalam menghidupkan bulan Ramadan.

Apatah lagi pada bulan istimewa itulah kitabullah tersebut diturunkan.

Malah, ujar Ahli Jawatankuasa Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), Ustaz Mustafar Mohd Suki, dua aktiviti itu sering dilazimkan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat, salafussoleh dan ulama.

“Rasulullah SAW misalnya, bertadarus al-Quran dengan Malaikat Jibril AS.

“Bahkan, ulama terdahulu seperti Imam Malik Rahimahullah yang pakar dalam bidang hadis meninggalkan aktiviti berkaitan pembelajaran as-Sunnah itu semata-mata untuk memberi fokus terhadap pembacaan al-Quran,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

USTAZ MUSTAFAR
USTAZ MUSTAFAR

Dalam kesibukan mengejar untuk bertadarus dan khatam al-Quran, pendakwah itu mengingatkan agar kita turut memasukkan aktiviti tadabbur kalamullah sebagai antara senarai amalan ketika Ramadan ini.

Artikel Berkaitan:

Bagi mendorong umat Islam berbuat demikian, Mustafar yang juga pengarang kitab 30 Teknik Tepat Tadabbur Al-Quran kemudian mengambil contoh Saidina Umar Al-Khattab RA yang mempelajari Surah al-Baqarah selama 12 tahun.

Melihat pernyataan itu, adakalanya kita sering alpa dalam mentadabbur kalamullah lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan ini.

“Tadabbur itu bukanlah bermaksud pembelajaran ayat demi ayat al-Quran, tetapi kita boleh ambil ringkasan. Sebagai contoh, apabila malam pertama Ramadan, imam membacakan Surah al-Baqarah ataupun satu juzuk al-Quran, jadi untuk memahaminya, kita lihat kisah yang terkandung dalam surah atau juzuk berkenaan.

“Mungkin cerita pasal orang beriman, Bani Israel dan ada sedikit hukum-hakam. Ambil sedikit input atau poin penting kerana pada hari ini, sudah banyak buku atau nota-nota di pasaran yang ditulis oleh para asatizah kita tentang tadabbur setiap juzuk al-Quran.

“Jadi tidak perlu ambil masa lama, cukup lima atau 10 minit saja, sekurang-kurangnya kita tahu cerita dalam juzuk berkenaan,” terangnya panjang lebar.

BAIK khatam atau bertadarus al-Quran, kedua-duanya termasuk sebagai ibadah yang cukup hebat dalam menghidupkan bulan Ramadan. -Foto: 123rf
BAIK khatam atau bertadarus al-Quran, kedua-duanya termasuk sebagai ibadah yang cukup hebat dalam menghidupkan bulan Ramadan. -Foto: 123rf

Imbalan tanpa batasan

Sesungguhnya, terlalu besar imbalan yang bakal diraih jika kita mendampingi al-Quran pada bulan Ramadan, apalagi andai seseorang mengkhatamkan, sekali gus bertadabbur dan menghayati bait-bait kalamullah.

Jelas Mustafar, perbuatan itu termasuk dalam pahala yang besar. Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat buat hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Rab! Aku telah menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Al-Quran pula berkata: Aku telah menahannya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya. Kemudian keduanya memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya). ” (Hadis Riwayat Ahmad dan At-Tabarani)

Dalam satu riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca satu hurut di dalam al-Quran, maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi 10 kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan alif lam mim satu huruf, akan tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

SEGALA amal kebaikan yang dilakukan ketika Ramadan termasuk membaca al-Quran akan dilipatgandakan pahalanya. -Foto: 123rf
SEGALA amal kebaikan yang dilakukan ketika Ramadan termasuk membaca al-Quran akan dilipatgandakan pahalanya. -Foto: 123rf

Melihat ungkapan hadis itu, ujar Mustafar yang juga Penasihat Syariah Koperasi Permata al-Quran Malaysia, jelas ganjaran yang ditawarkan oleh ALLAH SWT kepada hamba-NYA yang mendekati al-Quran bukan calang-calang.

“Ingatlah, dosa dan pahala boleh bertambah dengan beberapa keadaan antaranya disebabkan faktor waktu ataupun masa. Antara bulan biasa dan Ramadan, maka bulan puasa itu lebih mulia serta dilipatgandakan pahala.

“Dalam satu hadis lain juga, ada disebutkan bahawa setiap satu amalan anak Adam akan digandakan melainkan puasa. Ia bukanlah bermaksud puasa itu tidak bertambah pahala, tetapi lebih berkali lipat daripadanya.

“Bukan itu sahaja, ibadah lain yang dilakukan (dalam bulan Ramadan) juga akan dilipatgandakan imbalannya tanpa batasan,” ungkapnya.

Apa pun, penceramah itu mengingatkan kita agar melakukan setiap amalan kerana ALLAH SWT dan bersungguh-sungguh ketika melaksanakannya.

ANEKDOT

Wajibkah khatam al-Quran dalam bulan Ramadan?

 USAH lepaskan peluang untuk membaca, bertadarus, khatam dan mentadabbur al-Quran sepanjang Ramadan ini kerana begitu besar imbalannya. -Foto: 123rf
USAH lepaskan peluang untuk membaca, bertadarus, khatam dan mentadabbur al-Quran sepanjang Ramadan ini kerana begitu besar imbalannya. -Foto: 123rf

- Hukum membaca al-Quran adalah sunat muakkad (sangat dituntut) sama ada dalam bulan Ramadan atau tidak.

- Walaupun membacanya adalah sunnah yang digalakkan, tetapi wajib mengalunkannya dengan bertajwid, betul dari segi bacaan, sebutan dan sebagainya.

- Ketahuilah bahawa membaca al-Quran itu merupakan sunnah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta sering kali diamalkan oleh para tabiin.

- Meskipun demikian, bilakah lagi kita mahu ambil peluang untuk mengkhatamkan al-Quran jika bukan pada bulan Ramadan?

- Ini kerana pada bulan-bulan lain, kita agak sibuk dengan pelbagai urusan.

- Justeru, alangkah indahnya andai kita dapat merebut peluang keemasan Ramadan ini untuk 'mewajibkan' diri mengkhatamkan al-Quran walaupun ia tidaklah diwajibkan.

- Bagi sesiapa yang tidak mengkhatamkan al-Quran, ia tidak dikira sebagai telah melanggar kewajipan. Cuma lebih elok jikalau kita dapat menghabiskan seluruh juzuk al-Quran pada bulan yang mulia itu.

Sumber: Ahli Jawatankuasa Multaqa Asatizah & Duat (Murshid), Ustaz Mustafar Mohd Suki