Baling bom petrol: AMK gesa pihak berkuasa ambil tindakan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menggesa pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung isu perbuatan khianat membaling bom petrol di salah sebuah kedai serbaneka KK Mart pada Selasa.

AMK dalam kenyataan berkata, insiden terbaharu yang berlaku di Perak itu dikhuatiri menjadi permulaan kepada keresahan awam yang tidak dapat dikawal susulan isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH di cawangan kedai berkenaan.

“Tindakan khianat menggunakan bom petrol oleh pihak tidak bertanggungjawab tersebut dikhuatiri adalah respons terhadap insiden yang melibatkan isu penghinaan ke atas kalimah suci ALLAH tempoh hari.

“Namun seperti yang ditekankan sebelum ini, kita tidak boleh bertindak di luar batas undang-undang dan rasional sebagai masyarakat,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Dua minggu lalu, sekeping gambar yang memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

Ia mengundang reaksi daripada pelbagai pihak termasuk pimpinan politik yang turut menyatakan kecaman dan gesaan boikot berhubung isu berkenaan.

Kenyataan AMK pada Selasa.
Kenyataan AMK pada Selasa.

Pada Selasa, polis mengesahkan kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dibaling bom petrol awal pagi. Bagaimanapun, serangan tidak mengakibatkan kebakaran di kedai itu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan mendapati terdapat serpihan botol kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di lantai kedai berkenaan.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, kerajaan dan pihak berkuasa telah pun mengambil langkah tegas dengan mengenakan tindakan ke atas pihak terlibat termasuklah pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara dan serbuan premis oleh pihak berkuasa.

“Namun, segelintir pihak yang seharusnya memelihara keharmonian masyarakat yang kebanyakannya terdiri daripada pimpinan-pimpinan parti politik telah bersikap tidak wajar dan rasional kerana terus menunggang isu ini sehingga mengakibatkan berlaku kegiatan ekstremisme dan perbuatan melampau.

“AMK menolak sikap dan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyemai benih kebencian melampau tanpa memikirkan akibat yang jauh lebih memudaratkan dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai pemimpin sebuah negara berbilang kaum, sikap dan tindakan yang berlebih-lebihan sehingga menyebabkan kekacauan dan ancaman terhadap keharmonian masyarakat atas alasan apa sekalipun adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan sentiasa merugikan,” ujar kenyataan berkenaan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28