Anggota Maritim maut: Dua warga Thailand akan didakwa esok

KANGAR - Dua warga Thailand akan didakwa di mahkamah di sini esok, susulan kejadian pelanggaran bot yang menyebabkan seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) maut, ketika operasi penguatkuasaan pada 26 Oktober.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, dua lelaki dipercayai tekong bot itu, akan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
"Kedua-dua OKT (Orang Kena Tuduh) warga Thailand itu akan dituduh esok pagi di Mahkamah Kangar, pada jam 9 pagi,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.
Pada 27 Oktober, media melaporkan Laskar Kanan Teknikal Maritim Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, meninggal dunia manakala tiga lagi anggota cedera, dalam insiden pelanggaran bot semasa operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Sungai Padang, Kuala Perlis.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa dipetik sebagai berkata, insiden itu berlaku, ketika operasi dijalankan lima anggota Maritim Malaysia bagi menahan sebuah bot disyaki membawa pendatang tanpa izin di Kuala Sungai Padang pada 11.37 malam, 26 Oktober itu.
Romli berkata, bot disyaki membawa pendatang asing itu dipercayai bertindak menghimpit bot samaran Maritim Malaysia, sehingga menyebabkan bot samaran itu berlanggar dengan struktur konkrit berhampiran jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Sungai Padang, sehingga tiga anggota Maritim Malaysia termasuk Mohd Roshaimi tercampak ke laut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
