[VIDEO] 'Kami yakin ada peluang cerah menang kes' - Peguam KK Mart

A
A
A

SHAH ALAM - 'Kami yakin mempunyai peluang cerah dalam kes ini.'

Itu reaksi barisan peguam mewakili KK Mart dan dua pengarahnya ketika mengulas berkaitan kes pendakwaan melibatkan anak guam mereka di Mahkamah Sesyen Shah Alam dekat sini pada Selasa.

Datuk Rajpal Singh berkata, bagaimanapun pihaknya menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk membuat keputusan.

"Kami beri keyakinan untuk memenangi kes ini, anak guam saya telah mengaku tidak bersalah dan mereka tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Apa pun kami menyerahkan kepada mahkamah untuk buat keputusan berkaitan kes ini," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Shah Alam di sini pada Selasa.

Rajpal Singh (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Shah Alam di sini pada Selasa.
Rajpal Singh (dua dari kanan) ketika sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Shah Alam di sini pada Selasa.

Pada Selasa, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd, Pengasas Kumpulan syarikat itu, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini berkaitan pertuduhan melukakan perasaan agama orang Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah ALLAH, dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja melakukan kesalahan itu, di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun, di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway, pada jam 6.30 pagi, 13 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Setiap tertuduh kemudiannya dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin sebelum mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes.

Dua minggu lalu, sekeping gambar yang memaparkan stoking tertera kalimah ALLAH dijual di sebuah KK Super Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial.

Ia mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk kemurkaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan menitahkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan raja-raja.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28