Padah buat aksi 'wheelie', seret kepala atas jalan

KUALA LUMPUR – Tindakan dua remaja lelaki melakukan aksi 'wheelie' dan menyeretkan kepala di atas jalan raya sehingga tular di media sosial mengundang padah apabila mereka ditahan pada Isnin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 14 saat di media sosial yang memaparkan aksi berbahaya oleh dua remaja ketika menaiki sebuah motosikal.
“Video terbabit menunjukkan penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC Fi berwarna hitam melakukan aksi mengangkat roda hadapan.
“Pada masa yang sama, pembonceng turut melakukan aksi berbahaya dengan menyeretkan kepala di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Zamzuri berkata, kejadian dipercayai berlaku di Jalan Tun Razak pada 30 Januari lalu antara jam 3.30 pagi hingga 4 pagi.
“Video berkenaan mendapat perhatian ramai dengan lebih 1,500 tanda suka dan puluhan komen di Facebook,” katanya.
Menurutnya, bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur menjalankan siasatan serta risikan sebelum berjaya mengesan dan menahan dua remaja terbabit bersama motosikal.
“Tangkapan dilakukan di kediaman berasingan di sekitar Sungai Buloh, Selangor pada jam 2 pagi dan 2.30 pagi tadi.
“Tangkapan membabitkan seorang lelaki berusia 18 tahun (penunggang) dan seorang lagi berusia 15 tahun (pembonceng). Turut dirampas sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ringkasan AI
- Dua remaja lelaki ditahan kerana aksi 'wheelie' dan menyeretkan kepala di atas jalan raya yang tular di media sosial
- Video aksi berbahaya mereka menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC Fi berlangsung di Jalan Tun Razak pada 30 Januari
- Video tersebut mendapat lebih 1,500 tanda suka dan puluhan komen di Facebook
- Remaja berusia 18 tahun dan 15 tahun tersebut ditahan di kediaman berasingan di sekitar Sungai Buloh, Selangor
- Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
