Sindiket edar dadah dalam tong gas helium, empat ditahan

Taktik sindiket menggunakan tong gas helium untuk mengedar dadah terbongkar susulan penahanan 4 individu di Jalan Tun Razak pada Ahad. - Gambar kecil (Fadil)
Taktik sindiket menggunakan tong gas helium untuk mengedar dadah terbongkar susulan penahanan 4 individu di Jalan Tun Razak pada Ahad. - Gambar kecil (Fadil)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket menggunakan tong gas helium untuk mengedar dadah terbongkar susulan penahanan empat individu di sebuah kediaman di Jalan Tun Razak, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil maklumat risikan, Pasukan Kuala Lumpur Police Strike Force menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Hong Kong berusia antara 26 hingga 36 tahun dalam serbuan pada jam 5.30 petang.

“Dalam serbuan itu, polis merampas lima tong gas berlabel helium yang disyaki mengandungi dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA), tiga paket plastik berisi serbuk disyaki dadah sama dan empat kartrij disyaki dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fadil berkata, kesemua suspek dipercayai aktif mengedarkan dadah menggunakan tong gas yang disertakan bersama belon untuk tujuan pelanggan menghisap dadah jenis MDMA di kelab malam sekitar Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.

“Saringan air kencing ketiga-tiga suspek didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin,” katanya.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun di lokasi sama.

“Kita turut merampas 14 kotak mengandungi botol berisi gas disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 58.24 kilogram, tujuh bungkusan belon serta sebuah kereta jenis Perodua. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM69,491,” katanya.

Menurut Fadil, kesemua suspek akan direman pada Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B akta sama.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sindiket guna tong gas helium untuk edar dadah terbongkar di Kuala Lumpur
  • Pasukan Kuala Lumpur Police Strike Force tahan empat individu di Jalan Tun Razak
  • Lima tong gas disyaki mengandungi MDMA dan barang bukti lain dirampas
  • Suspek mengedar dadah di kelab malam sejak tiga bulan lalu
  • Keseluruhan rampasan bernilai RM 69,491

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!