Tune Protect santuni anak muda Shah Alam

MOHD YUSOF
MOHD YUSOF
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan Tune Protect Berhad (Tune Protect) akan bekerjasama dengan Sinar Harian mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Roll Out Iftar: Distribution of Iftar via Misi Rakyat Food Riders bagi menyantuni anggota pasukan beruniform dan para penghantar makanan (Riders).

Program yang membabitkan penyediaan serta agihan 2,000 pek makanan itu akan diadakan pada awal April ini membabitkan kawasan sekitar Shah Alam yang mana ia akan bermula di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Tune Protect, Mohd Yusof Hafiz Mohamad berkata, menerusi program itu, Tune Protect akan menyediakan 1,000 pek martabak daging dan ayam serta 1,000 pek kuih boko ubi yang dimasak sendiri untuk diberikan kepada pasukan beruniform melalui penghantar makanan.

Menurutnya, program itu diadakan bagi menyantuni anak muda yang bekerja sebagai penghantar makanan dan pasukan beruniform seperti polis, bomba, angkatan tentera udara dan petugas hospital di sekitar Shah Alam.

“Kami berharap program ini akan menyemarakkan bulan Ramadan dengan keberkatan berinfaq selain berkongsi rezeki bersama masyarakat. Ia juga memberi peluang kepada penghantar makanan untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan menyertai dan menyokong aktiviti CSR ini,” kata Mohd Yusof dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Tambah Mohd Yusof, buat pertama kalinya, Tune Protect melaksanakan program CSR menggunakan perkhidmatan penghantar makanan Misi Rakyat Food Riders.

“Kami memilih Misi Rakyat Food Riders dan petugas barisan hadapan sebagai kolaborasi dan kumpulan sasar kerana menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara.

“Penghantar makanan ini sanggup meredah hujan lebat, terik matahari serta berhadapan dengan keadaan berisiko untuk membantu masyarakat di Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, Tune Protect memilih Sinar Harian untuk menjayakan program tersebut kerana ia adalah salah satu platform media yang popular dan dapat menjangkau orang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama dengan Sinar Harian mungkin juga memberi akses kepada sumber daya yang diperlukan untuk menyebarkan maklumat mengenai program CSR kami ini dengan lebih efektif,” ujarnya.