Bukan demonstrasi boikot KK Mart

Laporan Sinar Harian. (Hafiz Ariffin)
Laporan Sinar Harian. (Hafiz Ariffin)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Video tular kononnya berlaku insiden tersilap memboikot kedai serbaneka di ibu negara baru-baru ini adalah tidak benar.

Setiausaha Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, penularan gambar dan video itu telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sehingga menimbulkan fitnah.

Menurutnya, ketika kejadian itu berlaku, ahli Pemuda UMNO berkumpul di situ selepas selesai menyantuni dan mengagihkan bantuan kepada peniaga di kawasan tersebut.

“Insiden yang tular di media sosial baru-baru ini adalah tidak benar. Tiada demonstrasi salah kedai dan memboikot KK Mart seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Kebetulan kami dijemput hadir dalam program anjuran Pemuda UMNO cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menyantuni peniaga,” katanya pada Isnin.

Tular satu video yang menarik perhatian ramai apabila terdapat sekumpulan dikatakan tersilap memboikot kedai serbaneka.

Dalam video tular itu, kedengaran pemilik video menyatakan mereka tersalah kedai kerana berhimpun di hadapan 99 Speedmart, bukannya KK Mart.

“Salah kedai lah bro, salah kedai. Boikot KK Mart bukan Speedmart,” kata pemuda berkenaan dalam video berdurasi 13 saat itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah ALLAH dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Pada 16 Mac, pengurusan KK Mart dilaporkan memohon maaf berhubung penjualan stoking berkenaan di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Sementara itu, Hafiz berkata, niat mereka ialah untuk mengagihkan sumbangan kepada peniaga di sekitar kawasan tersebut, tetapi keadaan itu telah dimanipulasi oleh pihak lain.

Ujarnya, sebarang aktiviti demonstrasi perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa dan tidak boleh dibuat tanpa permit.

Sementara itu, KK Super Mart dan bekas pembekalnya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini berhubung penjualan stoking bertulisan kalimah ALLAH itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28