Isu stoking tiada kesudahan, PM gesa rakyat tidak jadi hakim

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ISU stoking yang tertera kalimah ALLAH seolah-olah tidak menemui titik noktah apabila sehingga ke hari ini masih hangat diperkatakan di media sosial bahkan turut mendapat perhatian pemimpin parti politik.

Bagaimanapun, isu ini seolah-olah dilihat menjadi ‘permainan politik’ kerana ada dalam kalangan pemimpin parti politik daripada blok pembangkang dan kerajaan yang cuba membawa naratif tersendiri dalam memperjuangkan hal berkenaan.

Jika diteliti ‘perjuangan’ yang dibawa itu mempunyai asbab tertentu, namun ia tidak sepatutnya menjadi ‘bahan’ untuk mereka menjatuhkan mana-mana pihak kerana isu ini berkait dengan agama.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa rakyat untuk meneruskan usaha memboikot kedai serbaneka KK Mart kerana menjual stoking berkenaan.

Gesaan itu telah menjadi pertikaian sehinggakan ada seorang pengguna media sosial yang beranggapan bahawa tindakan memboikot kedai serbaneka itu tidak perlu disuruh kerana umat Islam mengetahui cara untuk menanganinya.

Bukan itu sahaja, pengguna media sosial itu turut mendakwa bahawa Muhamad Akmal hanya menunggang isu berkenaan kerana tidak mencari penyelesaian jangka masa panjang.

Dr Muhammad Akmal tegas menyatakan kelantangannya mengecam penjualan stoking kalimah ALLAH oleh KK Mart adalah berlandaskan keputusan kolektif Pemuda UMNO.
Dr Muhammad Akmal tegas menyatakan kelantangannya mengecam penjualan stoking kalimah ALLAH oleh KK Mart adalah berlandaskan keputusan kolektif Pemuda UMNO.

Susulan dakwaan itu, Muhamad Akmal menegaskan, isu berkaitan Islam sepatutnya membuatkan orang ramai bersatu hati dalam membela agama dan tidak mempertikai usaha yang dilakukan oleh mana-mana pihak dalam memperjuangkan hal berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat supaya tidak menjadi hakim dengan membuat keputusan sendiri berhubung isu stoking tertera kalimah ALLAH.

Beliau berkata, isu tersebut perlu diserahkan kepada pihak polis untuk menyiasat diikuti proses pendakwaan dan mahkamah untuk dijatuhkan hukuman.

Menurutnya, fokus rakyat kini perlu terarah kepada isu-isu yang lebih besar berbanding soal perbezaan pandangan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28