Guna gambar wanita cantik, lima 'scammer' lelaki warga China ditahan

IPOH - Taktik menggunakan gambar wanita berpenampilan menarik menerusi aplikasi WhatsApp untuk memancing mangsa menyertai pelaburan tidak wujud terbongkar selepas lima lelaki warga China ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Anjung Bercham Utama di sini, Jumaat lalu.
Kesemua suspek berusia antara 26 hingga 43 tahun ditahan dalam operasi kira-kira jam 6.30 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan itu dilakukan susulan maklumat berkaitan aktiviti penipuan dalam talian yang dipercayai dijalankan di premis berkenaan.
"Hasil siasatan awal dan pemeriksaan skrip perbualan yang ditemui dalam komputer dirampas, polis percaya sindiket ini menjalankan kegiatan pusat panggilan bagi tujuan penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
"Sindiket ini dipercayai mula beroperasi di premis berkenaan sejak September lepas dengan menyasarkan mangsa dari negara Jerman," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi WhatsApp dan capaian internet tempatan untuk menjalankan kegiatan penipuan.
Katanya, suspek dipercayai menyamar menggunakan gambar wanita berpenampilan menarik sebelum menghubungi mangsa secara rawak bagi menawarkan peluang pelaburan dalam syarikat yang kononnya bertapak di Jerman.
"Mangsa kemudian dipujuk untuk menyertai pelaburan berkenaan dengan tawaran pulangan keuntungan tinggi sebelum diminta membuat pembayaran secara berulang kali," katanya.
Mohd Alwi berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas lima unit komputer, 10 telefon bimbit dan empat unit penghala internet (router) dianggarkan bernilai kira-kira RM25,000.
Menurutnya, kesemua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Polis Perak akan terus mengambil tindakan proaktif bagi membanteras kegiatan pusat panggilan yang terbabit dalam penipuan dalam talian," katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai individu yang hanya dikenali menerusi perbualan dalam talian serta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan seumpama itu ke balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

