'Kita akan terhempas!' – Amaran terakhir juruterbang sebelum nahas korban sembilan nyawa

Pesawat berkenaan hancur akibat terhempas. Foto: Agensi
Pesawat berkenaan hancur akibat terhempas. Foto: Agensi
A
A
A

FLORIDA – “Kita akan terhempas!” Itu antara amaran terakhir juruterbang sebuah pesawat persendirian Learjet 60 sebelum pesawat berkenaan menjunam ke kawasan perumahan di Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Ahad, mengorbankan kesemua sembilan individu di dalamnya.

Menurut laporan AP dan CNN, detik cemas itu dirakam menerusi komunikasi antara kru pesawat dengan pusat kawalan trafik udara ketika mereka bergelut menghadapi keadaan cuaca tidak menentu.

Pesawat yang berlepas dari Austin, Texas menuju ke Bahamas itu dilaporkan mengalami pergolakan udara sederhana serta pembentukan ais ketika berada pada ketinggian penerbangan.

Dalam rakaman komunikasi yang diperoleh menerusi laman LiveATC.net, juruterbang memaklumkan suhu udara di luar pesawat mencecah negatif 47 darjah Celsius.

Kru turut melaporkan pembentukan ais yang masih boleh dikendalikan sebelum memohon kebenaran meningkatkan ketinggian selepas menghadapi hujan.

Bagaimanapun, keadaan berubah secara mendadak apabila pesawat mula kehilangan ketinggian pada kadar luar biasa.

“Mayday, mayday! Kami sedang menjunam 10,000 kaki seminit,” lapor juruterbang kepada pusat kawalan trafik udara.

Beberapa saat kemudian, kru memaklumkan pesawat berada dalam keadaan kelajuan berlebihan dan kadar penurunan meningkat kepada 20,000 kaki seminit.

“Kita akan terhempas ke tanah,” kata juruterbang sebelum komunikasi semakin terganggu.

Artikel Berkaitan:

Pengawal trafik udara cuba menenangkan kru dan meminta mereka menjelaskan bantuan yang diperlukan.

Namun, pesawat terus menjunam dengan pantas sebelum terhempas berhampiran kawasan perumahan Cresthaven sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan.

Rakaman kamera kenderaan menunjukkan pesawat itu menjunam hampir menegak sebelum menghentam tanah, mencetuskan letupan besar dan kepulan asap hitam.

Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy mengesahkan kesemua sembilan penumpang dan kru terkorban dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Gabenor Florida, Ron DeSantis menyifatkan nahas itu sebagai tragedi dahsyat apabila pesawat kelihatan seperti peluru berpandu yang menjunam ke bumi.

Nahas turut menyebabkan kira-kira 600 penduduk berhampiran dipindahkan sebagai langkah keselamatan, namun tiada kecederaan di darat dilaporkan.

Lokasi kejadian terletak kira-kira 11 kilometer dari resort Mar-a-Lago milik Presiden Donald Trump yang dilaporkan sudah meninggalkan kawasan berkenaan kira-kira sejam sebelum nahas.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi itu.

Walaupun juruterbang melaporkan pembentukan ais dan pergolakan udara sebelum kejadian, pihak penyiasat belum mengesahkan sama ada keadaan cuaca menjadi penyebab utama pesawat kehilangan kawalan.

Identiti kesemua mangsa, termasuk juruterbang, belum diumumkan secara rasmi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!