PRN Melaka: Polis terima lapan laporan, enam babit khianat bahan kempen

MELAKA – Polis menerima lapan laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang mana enam daripadanya membabit kejadian khianat bahan kempen di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat Isnin lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, laporan diterima membabitkan kejadian kerosakan, kehilangan, perbuatan mematahkan, mencabut, mengoyakkan serta membakar bendera dan bahan kempen parti politik di DUN Ayer Keroh, Rumbia, Ayer Limau, Paya Rumput serta Alor Gajah.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kehilangan dan kerosakan 22 helai bendera kempen, manakala di DUN Rumbia kira-kira 150 batang bendera Pakatan Harapan (PH) dilaporkan rosak dipercayai akibat dipatahkan.
“Polis turut menerima laporan berhubung bendera PH di DUN Ayer Limau yang didakwa dicabut.
“Di DUN Paya Rumput pula, bahan kempen parti Bersama dilaporkan dipatahkan, dikoyakkan, diturunkan, dibakar dan dimusnahkan,” katanya dalam kenyataan.
Di Alor Gajah pula katanya, pengadu membuat laporan beberapa bendera PH telah dipatahkan dan dicampak ke dalam longkang di Jalan Industri Kelemak.
Katanya, kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Selain itu katanya, polis turut menerima laporan berhubung dua isu lain berkaitan PRN Melaka pada 2 November.
Dzulkhairi berkata, laporan pertama membabitkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berhubung isu pendedahan minit pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Ujar beliau, satu lagi laporan diterima di Jasin berhubung dakwaan pengadu melihat individu membawa keluar bakul makanan dan wang tunai dianggarkan RM50 dari premis JAPERUN Rim dengan kehadiran wakil calon Barisan Nasional (BN) disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Siasatan sedang giat dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka dan tiada maklumat lanjut dapat diberikan memandangkan semua kes masih dalam siasatan.
“Orang awam dinasihatkan supaya bertenang, bertindak mengikut lunas undang-undang serta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden yang dilaporkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

