Lumba haram: Tiga lelaki termasuk warga Singapura didenda RM3,500

JOHOR BAHRU – Seorang remaja warga Singapura antara tiga lelaki yang didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa, selepas mengaku bersalah atas kesalahan berkaitan aksi lumba dan menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuhraya Linkedua Malaysia-Singapura, bulan lalu.
Ketiga-tiga tertuduh ialah Syajahan Alfian Abdullah, 19, Muhammad Daniel Hakim Mohamad Rashid, 24, dan Gonzales Mckhovic anak George, 18.
Syajahan merupakan warga Singapura, manakala dua lagi tertuduh masing-masing didenda RM3,500 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.

Mengikut kertas pertuduhan, Syajahan Alfian Abdullah, 19, yang masih menjalani latihan khidmat negara di Singapura, didakwa menunggang motosikal pada kelajuan tinggi serta melakukan aksi menduga kelajuan di Kilometer (KM) 12.5 Lebuhraya Linkedua arah selatan, kira-kira jam 2.10 pagi, 18 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 42A(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2026).
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Muhammad Daniel Hakim Mohamad Rashid dan Gonzales Mckhovic anak George didakwa berlumba motosikal masing-masing di Lebuhraya Linkedua arah utara, bermula dari KM7.8 hingga KM18.2, kira-kira jam 2.10 pagi pada 18 Oktober 2026.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 42A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2026).
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua, hukuman diperuntukkan adalah denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam manakala kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor S.Vikineswary.
Pada 16 Oktober lalu, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 yang meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] mula berkuat kuasa selepas diluluskan Dewan Rakyat pada 24 Jun 2026.
Pindaan yang mengandungi 42 fasal itu antara lain bertujuan memperkukuh keselamatan jalan raya, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta membanteras kegiatan lumba haram dan tonto.
Antara perubahan utama ialah pengenalan Seksyen 42A yang menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan di jalan raya sebagai kesalahan khusus.
Sebelum pindaan itu, tindakan terhadap kegiatan lumba haram lazimnya diambil di bawah peruntukan berkaitan pemanduan berbahaya. Pengenalan seksyen baharu itu membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan tanpa perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

