Paip bocor punca gangguan air di Kemubu, Dabong

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU – Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) memaklumkan bahawa gangguan bekalan air yang berlaku di Kampung Kemubu, Dabong, Kuala Krai adalah berpunca daripada paip bersaiz 100 milimeter yang bocor di kawasan landasan laluan kereta api berhampiran kampung tersebut.

AKSN dalam satu kenyataan, memaklumkan kerja-kerja pembaikian mengambil sedikit masa kerana kedudukan paip yang berada di cerun bukit serta dijangka menjejaskan kestabilan cerun berhampiran laluan rel sedia ada.

Katanya, susulan aduan itu, AKSB Jajahan Kuala Krai bersama pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Cawangan Kelantan telah ke lokasi pada Ahad lalu.

Menurut kenyataan itu, kampung tersebut mendapat bekalan air daripada loji Stong dan diagihkan kepada tangki Kemubu sebagai tangki agihan sebelum disalurkan kepada penduduk sekitar.

"Kedudukan rumah pengguna yang tinggi agak menyukarkan bekalan air bersih sampai secara normal, berikutan kejadian paip pecah yang masih dalam peringkat pembaikian.

"AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi ini dari masa ke masa menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau boleh hubungi PINTAS di talian 15777 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan penduduk di Kampung Kemubu, Dabong mengalami masalah gangguan bekalan air yang menghantui mereka sejak setahun lalu.

Masalah itu menjadi lebih kronik apabila penghuni di 50 buah rumah di sini terpaksa menyambut Ramadan tanpa bekalan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Persatuan Warisan Anak Krai, Hamidi Hamzah berkata, mereka sudah hilang sabar selepas menerima 'ugutan' daripada anak-anak di perantauan yang enggan pulang beraya jika masalah itu gagal diselesaikan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!