Paip bocor jejas bekalan air ke daerah Barat Daya

Kon Yeow (tiga dari kanan) mendengar penerangan mengenai kebocoran pada saluran paip di Sungai Perai yang dikenal pasti berlaku jam 10 pagi Jumaat. Foto Facebook Chow Kon Yeow
Kon Yeow (tiga dari kanan) mendengar penerangan mengenai kebocoran pada saluran paip di Sungai Perai yang dikenal pasti berlaku jam 10 pagi Jumaat. Foto Facebook Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Pemulihan air bagi daerah Barat Daya akan diteruskan susulan berlaku satu lagi kebocoran dikesan di saluran paip bawah Sungai Perai.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, susulan daripada itu, penduduk di kawasan daerah tersebut dinasihatkan supaya terus menyimpan air yang secukupnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Mneurutnya, kebocoran paip di Sungai Perai dikenal pasti pada jam 10 pagi tadi di beberapa bahagian baharu dari pembaikan asal.

"Proses pembekalan air pada tekanan rendah masih lagi disalurkan sebagaimana dimaklumkan sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun katanya, pembekalan air hanya akan melibatkan daerah Barat Daya dan tidak akan menjejaskan kawasan Seberang Perai serta kebanyakan kawasan daerah Timur Laut.

"Kawasan-kawasan yang telah memperoleh bekalan air tidak akan terjejas.

"Penilaian kini menyatakan bahawa paip sedia ada tidak lagi boleh dibaiki dan tindakan selanjutnya adalah untuk melencongkan paip sementara 900 milimeter (mm) diameter merentasi jambatan Ampang Jajar di bahagian atas permukaaan sungai," katanya.

Pada pagi Jumaat, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBPP) mengesahkan berlaku satu lagi kebocoran dikesan di saluran paip bawah Sungai Perai.

Artikel Berkaitan:

Menurut PBAPP, kakitangannya sedang menyiasat punca dan lokasi kebocoran untuk memeriksa sama ada ia berada di bahagian yang sama yang telah dibaiki pada Khamis.

PBAPP berkata lagi, saluran paip itu mungkin akan ditutup kemudian untuk kerja-kerja pembaikan kecemasan.

Sebelum itu, pada Khamis, PBAPP memaklumkan kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai telah disiapkan dengan membabitkan kerja-kerja mengikat pengapit yang diubah suai pada saluran itu.

Sungai Perai merupakan lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Sebelum ini, kira-kira 200,000 pengguna air di Barat Daya (bahagian pulau) dan Seberang Perai (kawasan seberang) akan mengalami gangguan bekalan air bermula Selasa.

Gangguan itu berikutan penutupan sementara saluran paip sebesar 1,350 milimeter (mm) di Sungai Perai yang pecah.