Sorok dadah dalam bungkusan makanan segera

Zam Halim (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
Zam Halim (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis membongkarkan taktik menyembunyikan dadah jenis syabu dalam bungkusan makanan segera selepas menahan tiga individu termasuk seorang wanita secara berasingan di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, dalam serbuan pada jam 12 tengah malam itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 34 tahun di sebuah kedai serbaneka di sebuah kondominium.

"Susulan tangkapan itu, kita menahan seorang wanita warga asing berusia 39 tahun di sebuah unit kondominium sama.

"Kita juga merampas dadah syabu anggaran berat 15,735 gram bernilai RM 503,520," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini, pada Isnin.

Zam Halim berkata, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak lima bulan lalu dan menjadikan kondominium mewah yang dikawal oleh pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah.

"Bekalan dadah itu dipercayai diperolehi daripada pengedar tempatan dari Utara Semenanjung melalui aplikasi Telegram, sebelum dibungkus semula dalam bungkusan makanan segera, kemudian diedarkan untuk pasaran sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, suspek tidak memiliki pekerjaaan tetap itu menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama.

"Ahli sindiket berkenaan menerima upah sebanyak RM15,000 hingga RM20,000 untuk mengedar. Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tiada rekod jenayah dan urin juga negatif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zam Halim berkata, pihaknya masih mengesan ahli sindiket lain yang terlibat.

"Kesemua individu itu ditahan reman selama lima hari sehingga Rabu untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang boleh menghubungi IPD Cheras ditalian 03-92050222 atau hotline Polis Kuala Lumpur ditalian 03-2155999," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!