Dadah RM12.54 juta dalam bungkusan teh herba Cina

Sazali (tiga dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas.
Sazali (tiga dari kanan) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas.
A
A
A

NILAI - Taktik sindiket penyeludupan dadah menggunakan bungkusan teh herba Cina untuk menyembunyikan 380 kilogram methamphetamine bernilai RM12.54 juta berjaya dihidu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, dalam operasi dilakukan pada 20 Mac lalu jam 7.30 malam, pihaknya telah menyita satu pallet mengandungi 40 buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang Selangor.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap 32 buah kotak tersebut telah menjumpai bungkusan teh herba Cina yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine.

"Setiap kotak terdapat 12 bungkusan, manakala baki lapan buah kotak lagi mengandungi pembahagi kotak dan tidak menemui sebarang dadah," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, di sini pada Selasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, barang dagangan tersebut dihantar dari Kompleks Kargo Udara Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 18 Mac lalu dan kemudian dihantar pula ke Kompleks Kargo Udara KLIA Sepang, Selangor menggunakan laluan darat pada 19 Mac 2024.

Tambahnya, dagangan tersebut yang diikrarkan sebagai cakera keras magnetik akan dieksport ke Sydney, Australia menggunakan laluan udara.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, pengeksport dagangan itu wujud yang merupakan syarikat pembuatan cakera keras di Kulim, Kedah.

"Jadi kita syaki syarikat tersebut telah disalah guna oleh pihak sindiket tersebut bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini tiada tangkapan yang dibuat dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Jelasnya, berdasarkan jumlah berat dadah berkenaan dianggarkan seramai 1.9 juta orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.