'Dah lama MBI ‘sara’ KAHB, syarikat itu bermasalah' - Sanusi

Wisma Kedah Agro yang terletak di Jalan Tunku Abdul Halim, Alor Setar. Gambar kecil: Muhammad Sanusi
Wisma Kedah Agro yang terletak di Jalan Tunku Abdul Halim, Alor Setar. Gambar kecil: Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri tidak pernah lepas tangan dalam isu membabitkan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, iaitu Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan, sudah terlalu lama MBI ‘menyara’ KAHB kerana syarikat itu tidak mampu menjana pendapatan sendiri.

Menurutnya, KAHB telah menerima suntikan dana bagi kos operasi daripada MBI melebihi RM20 juta.

“Isu KAHB bukan isu baharu, MBI sara sebanyak RM75,000 sebulan sejak 2016 lagi. Kerja mereka tak cari, larat kah nak bela macam itu sahaja,” katanya di sini pada Ahad.

Sanusi berkata, Ketua Audit Negara pernah memberi teguran kepada KAHB pada 2016 kerana bermasalah selepas kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) ketika itu, membenarkan MBI menampung sebahagian pembayaran gaji kakitangan KAHB yang diamalkan sehingga kini.

"Saya punya polisi jelas, seperti diumumkan pada 2020, mana-mana anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang tak boleh menyumbang kepada kerajaan, ‘hisap darah’ kita tutup tetapi tak ditutup.

"GLC ditubuhkan untuk berniaga, dapat projek kerajaan untung pulang balik kepada kerajaan. Kalau ada 30 pekerja makan kedarah, sumbang tak pernah, kikis lagi ada, itu bukan GLC, itu lintah, saya tak mahu bela lintah," katanya lagi.

Sebelum ini tular di media sosial berhubung surat bertarikh 12 Februari 2024, yang dihantar kepada Biro Pengaduan Awam Negeri Kedah berhubung isu tunggakan gaji kakitangan KAHB yang didakwa tidak dibayar sehingga sembilan bulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, wakil kumpulan kakitangan KAHB, Mohamad Redzwan Ramlee berkata, mereka hanya menuntut hak masing-masing kerana masalah itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan tetapi keharmonian rumah tangga.

Terbaharu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, KAHB akan membayar RM560,000 gaji semasa dan tunggakan sebelum Aidilfitri setelah ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah KAHB baru-baru ini.

Sanusi yang juga Pengerusi MBI Kedah menjelaskan, kerajaan negeri mempertimbangkan untuk memberikan pinjaman kepada KAHB bagi menyelesaikan tunggakan gaji 24 kakitangan syarikat tersebut.

"Nak pinjam pun, saya kena tengok nak bayar dengan apa, berapa lama tempoh, sebulan berapa. Saya tak mahu disebabkan nak tolong mereka, saya khianat amanah satu Kedah.

“Duit kerajaan, pembayar cukai tak boleh guna bayar gaji syarikat yang tak ada dalam perbelanjaan kerajaan. Ini tata kelola yang mereka sering cakap, bila kita buat marah pula.

“Belum pernah sejak ditubuhkan KAHB, kerajaan bayar gaji, yang boleh dibuat adalah syarikat pinjam duit kerajaan. Bila isu tunggakan gaji, saya tak tau, mereka hantar memorandum (baharu tahu), selama ini hampa (mereka) buat apa," katanya.

Sanusi turut mempersoal gerak kerja kakitangan KAHB yang didakwa bekerja dari rumah sejak Ogos tahun lalu yang disifatkan tidak produktif untuk membantu syarikat berasaskan pertanian itu menjana pendapatan.

Dalam pada itu, Sanusi menempelak Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang menuntut penjelasan berhubung isu berkenaan, sebaliknya menegaskan pemimpin UMNO tersebut lebih mengetahui hal dalaman KAHB.

“Shaiful Hazizy sepatutnya lebih tahu, sebahagian besar masalah yang melanda syarikat itu timbul ketika BN memerintah Kedah.

“Sebagai setiausaha politik kepada Menteri Besar ketika itu (Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah) dia orang paling layak untuk beri penjelasan berkait isu terbabit.

“KAHB tidak ada perniagaan, tidak menjana pendapatan, dibelenggu masalah kewangan sejak 2016, tak kan dia tak tahu, dia ada dalam kerajaan ketika itu,” soalnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!