Kedah Agro segera tangani isu tunggakan gaji

Wisma Kedah Agro yang terletak di Jalan Tunku Abdul Halim, Alor Setar, Gambar kecil: Zafir Annuar Ghazali
Wisma Kedah Agro yang terletak di Jalan Tunku Abdul Halim, Alor Setar, Gambar kecil: Zafir Annuar Ghazali
A
A
A

ALOR SETAR - Isu berkaitan tunggakan gaji pekerja Kedah Agro Holdings Berhad (KAHB) termasuk operasi KAHB yang dikatakan ‘bermasalah’ akan ditangani dengan segera.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah, Zafir Annuar Ghazali berkata, isu berkenaan akan diselesaikan sebaik mungkin dengan bantuan kerajaan negeri dalam meneliti kaedah yang bersesuaian.

Menurutnya, antara penyelesaian bagi menangani isu kelewatan atau tunggakan gaji kakitangan anak syarikat MBI Kedah itu, KAHB akan meneroka projek perniagaan baharu dalam masa terdekat.

“KAHB baru sahaja menerima tawaran untuk jalankan projek perniagaan baharu, sekiranya semua urusan lancar, sejumlah pendapatan akan diterima oleh KAHB.

“Sumber baharu pendapatan ini akan segera digunakan untuk membayar gaji kakitangan yang tertunggak,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Sebelum ini tular di media sosial berhubung surat bertarikh 12 Februari 2024, yang dihantar kepada Biro Pengaduan Awam Negeri Kedah berhubung isu tunggakan gaji kakitangan KAHB yang didakwa tidak dibayar sehingga sembilan bulan.

Zafir memaklumkan, semua kemelut akan diselesaikan secara berperingkat dengan meneliti kaedah-kaedah yang sesuai.

“Proses ini dijangka akan mengambil sedikit masa kerana melibatkan beberapa agensi berkaitan. Selebihnya akan dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat seterusnya bagi mencari kaedah-kaedah lain,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, berkaitan isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertunggak pula, KAHB mempunyai komitmen bulanan dalam usaha menjelaskan bayaran caruman tersebut.

“Komitmen tersebut adalah melalui kaedah bayaran ansuran yang telah diluluskan oleh KWSP secara serahan cek tarikh tertunda, melibatkan jumlah sebanyak RM7,000 hingga RM36,000 setiap bulan,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana isu berkenaan dalam tindakan kerajaan negeri.

Difahamkan, operasi KAHB yang didakwa ‘bermasalah’ sudah lama berlarutan sejak 2016 menyebabkan MBI terpaksa menanggung kos operasi anak syarikat miliknya itu.