Pelan Pembangunan Kampong Bharu muktamad Jun ini

Gambar hiasan - Foto PKB
Gambar hiasan - Foto PKB
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Wilayah Persekutuan optimis Pelan Pembangunan Kampong Bharu di Kuala Lumpur dapat dimuktamadkan pada Jun ini berdasarkan maklum balas diterima daripada pemilik tanah di kawasan berkenaan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, buat masa ini beliau sudah mengarahkan pihak Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu untuk melakukan perjumpaan secara berkumpulan dengan pemilik tanah berkenaan untuk berbincang mengenai isu-isu yang berbangkit.

"Perjumpaan secara kumpulan kecil ini kita lakukan sejak awal bulan lepas dan sehingga sekarang kita sudah berjumpa kira-kira 50 peratus daripada 5,374 pemilik tanah keseluruhan di Kampong Bharu.

"Daripada jumlah yang kita sudah jumpa, 97 peratus mengatakan kesediaan untuk menjual tanah mereka bagi memberi jalan kepada pelaksanaan Pelan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan insya-ALLAH dalam masa enam bulan nanti kita akan muktamadkannya," katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Perpaduan, Piala Khalid Samad di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Melayu merempat jika tanah Kampung Baru dijual'

Kerajaan jamin identiti Kampong Bharu dikekalkan

93.7 peratus penduduk Kampung Baru setuju jual RM850 kaki persegi

Khalid berkata, pihaknya bersedia dengan langkah-langkah yang perlu sekiranya gagal mendapat persetujuan 100 peratus daripada pemilik tanah Kampong Bharu.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun kita yakin dengan tawaran baharu yang kita beri, kita akan mendapat persetujuan semua pemilik tanah," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga tawaran baharu pembelian tanah Kampong Bharu bernilai RM1,000 setiap satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Bersandarkan harga baharu itu, RM850 secara pulangan tunai manakala baki RM150 berbentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Sementara itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, aktiviti sukan adalah platform terbaik untuk rakyat pelbagai kaum menunjukkan kekuatan perpaduan mereka.

Khalid (kanan) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tenagh) dan legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun (kiri) pada Majlis Pembukaan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 di Stadium Rhino KV Arena, Seksyen 13 hari ini. - Foto Bernama

"Perpaduan kaum ini adalah kekuatan kita sebagai rakyat Malaysia, kita mesti lawan isu-isu perkauman yang diapi-apikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya berharap lebih banyak lagi ahli-ahli Parlimen mengambil langkah yang sama untuk menganjurkan aktiviti yang memupuk perpaduan kaum di kawasan masing-masing," katanya.

Terdahulu, sebanyak 16 pasukan terdiri daripada pelbagai kaum menyertai kejohanan yang pertama kali dianjurkan oleh Amanah Shah Alam itu. - Bernama

Khalid (kiri) merangkap Ahli Parlimen Shah Alam menerima cenderahati daripada lagenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun (kanan) pada Majlis Pembukaan Bola Sepak Perpaduan Piala Khalid Samad 2020 di Stadium Rhino KV Arena Seksyen 13 hari ini. - Foto Bernama