'Kucing saya mati akibat jerebu' - Veterinar jelaskan risiko terhadap haiwan

KUALA LUMPUR - "My cat died due to haze (kucing saya mati akibat jerebu).” Demikian perkongsian seorang pemilik haiwan di platform media sosial Threads.
Perkara itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang bimbang akan kesihatan haiwan peliharaan mereka, sekali gus mengundang persoalan sama ada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing turut berdepan risiko kesihatan akibat pencemaran udara.
Pemilik Klinik Haiwan dan Surgeri Kitty's Care, Dr Muhammad Naim Md Kasim berkata, zarah halus dalam udara tercemar boleh memasuki saluran pernafasan haiwan seperti kucing dan anjing, menyebabkan iritasi serta keradangan yang boleh menjejaskan fungsi paru-paru.
"Haiwan peliharaan pun ada sistem respiratori yang sama seperti manusia... ada hidung, trakea dan juga paru-paru. Apabila persekitaran tidak sihat (jerebu), which is ada dust (ada habuk) ataupun impurities (bahan pencemar) di udara, keadaan itu boleh menyebabkan kesihatan paru-paru kucing atau anjing menjadi tak sihat.
"Jadi, bila impurities mula masuk, maka iritasi berlaku sebab ada benda asing masuk dalam badan dan mula ada keradangan,” katanya kepada Bernama.
Gejala-gejala yang perlu diperhatikan pada "si bulus” termasuk kesukaran bernafas dan mata berair, namun gejala berkenaan tidak semestinya berpunca daripada jerebu kerana faktor lain perlu diperiksa sebelum diagnosis dibuat.
Dr Muhammad Naim berkata, haiwan yang mempunyai masalah pernafasan sedia ada, seperti menghidap asma, mempunyai penyakit jantung atau berusia lanjut lebih berisiko mengalami kesan serius akibat pendedahan kepada udara tercemar.
"Nasihat saya, kalau kita tahu haiwan peliharaan kita memang ada sakit jantung, ada problem respiratory issue dan sebagainya, try not to bring them out. Biarkan dalam rumah dan pastikan kualiti udara dekat rumah pun bagus,” katanya, menambah kucing yang tinggal di dalam rumah juga tidak terkecuali daripada risiko itu, terutama jika tingkap kerap dibuka dan udara tercemar dari luar dapat memasuki kediaman.
Jelasnya, pendedahan berterusan kepada udara tercemar tanpa rawatan berisiko menyebabkan keradangan paru-paru bertambah teruk dan boleh mengancam nyawa haiwan.
"Kalau dibiarkan lama, ada possibility boleh mati. Sama macam kita juga manusia, jika duduk dekat tempat berjerebu yang lama di luar dan kita bernafas di udara kotor berterusan tanpa apa-apa rawatan yang cepat, keradangan itu boleh menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kematian disebabkan oleh kekurangan oksigen,” katanya.
Dr Muhammad Naim berkata, haiwan yang mengalami kesukaran bernafas mungkin memerlukan terapi oksigen, manakala ubat antiradang atau antibiotik boleh diberikan mengikut keperluan berdasarkan pemeriksaan veterinar, termasuk jika terdapat jangkitan bakteria. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
