ACE SPM bantu pelajar B40, M40 dapat peluang lebih adil

AMPANG – Program ACE SPM yang diperkenalkan Yayasan TZA bertujuan membantu pelajar daripada keluarga B40 dan M40 memperoleh peluang yang lebih adil untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Penasihat Yayasan TZA, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kekangan kewangan keluarga boleh menyebabkan pelajar tidak menikmati kemudahan pembelajaran yang sama seperti kelas tuisyen tambahan dan bahan rujukan yang berkualiti.
“Adakah semua anak kita mempunyai peluang yang sama untuk berjaya?
“Kedua-duanya mungkin mempunyai kebolehan yang sama, tetapi peluang yang mereka terima tidak semestinya sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Kirana Budi Yayasan TZA di De Palma Hotel, di sini pada Khamis.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek; Pengerusi Yayasan TZA, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; dan Pemegang Amanah Yayasan TZA, Amir Fareed Abd Rahim.
Hadir sama Pengarah Eksekutif Kuok Brothers Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Razak Ramli dan Pengerusi MyKasih Foundation, Tan Sri Dr Ngau Boon Keat.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, program ACE SPM bermula pada penghujung 2024 sebelum diperluaskan pada tahun berikutnya dengan peruntukan RM300,000 kepada 10 sekolah di Selangor.
“Menerusi program itu, seramai 467 pelajar menerima tuisyen percuma selama lima bulan, manakala lebih 4,000 lagi mendapat sokongan pembelajaran tambahan.
“Tahun ini, program berkenaan memberi tumpuan kepada 10 sekolah di Pandan dan Ampang, melibatkan 400 pelajar daripada keluarga B40 dan M40 dengan sokongan 40 guru,” katanya.
Menurut beliau, sejak Julai lalu pelajar terbabit mengikuti kelas tambahan percuma bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.
Katanya, tempoh pembelajaran Bahasa Inggeris turut digandakan daripada satu jam kepada dua jam bagi setiap sesi.
“Selain kelas tuisyen, Yayasan TZA turut menyediakan buku nota, alat tulis, video pembelajaran dan makan tengah hari kepada pelajar,” katanya.
Zafrul berkata, yayasan itu memperuntukkan RM25,400 bagi setiap sekolah tahun ini untuk pelaksanaan kelas tambahan percuma serta penyediaan sarapan kepada calon SPM.
Daripada jumlah itu, RM3,500 diperuntukkan bagi menyediakan sarapan kepada semua calon SPM di setiap sekolah, bukan hanya peserta ACE SPM.
“Mengapa sarapan pagi? Sebab SPM itu sendiri sudah cukup mencabar. Soalan peperiksaan pun sudah banyak, tak perlulah perut lapar menjadi satu lagi cabaran.
“Nampak seperti perkara kecil, tetapi itulah pendekatan kita. Bukan sekadar membantu pelajar dari segi akademik, malah turut menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Zafrul berkata, Yayasan TZA turut memperkenalkan Seminar SPM: Pemangkin Membina Laluan Kerjaya Masa Depan yang diadakan di kesemua 10 sekolah terbabit sepanjang September lalu.
Menurutnya, seminar tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pelbagai pilihan pendidikan dan kerjaya kerana kejayaan tidak semestinya dicapai melalui laluan yang sama.
“Ada yang menyerlah di universiti, ada juga yang membina kerjaya hebat menerusi TVET dan kemahiran teknikal. Yang penting, mereka tahu pilihan yang ada dan berani merebut peluang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

