Jerebu: Sekolah di lapan PPD Selangor ditutup esok - Fadhlina

Fadhlina. Foto fail Bernama
Fadhlina. Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Semua sekolah di bawah lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor ditutup pada Jumaat susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan penutupan itu menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

"Jerebu di Selangor: Semua sekolah di bawah PPD Klang, Kuala Selangor, Kuala Langat, Hulu Langat, Gombak, Sepang, Petaling Perdana dan Petaling Utama ditutup pada 16 Oktober 2026," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 34 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Klang, Selangor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 195.

Hantaran Facebook Fadhlina pada Khamis.
Hantaran Facebook Fadhlina pada Khamis.

Menerusi portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor merekodkan lapan kawasan dengan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Pasir Gudang (184), Batu Pahat (179), Larkin dan Tangkak masing-masing 178, Pengerang (166), Kluang (165), Segamat (162) dan Kota Tinggi (160).

Di Selangor, selain Klang, lima kawasan turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu Johan Setia (192), Shah Alam (180), Banting (174), Petaling Jaya (169) dan Kuala Selangor (161).

Negeri Sembilan pula merekodkan tiga kawasan dengan bacaan tidak sihat, iaitu Nilai (191), Seremban (181) dan Port Dickson (173).

Artikel Berkaitan:

Kemerosotan kualiti udara turut direkodkan di Melaka membabitkan Bukit Rambai (178), Bandaraya Melaka (176) dan Alor Gajah (175).

Putrajaya mencatatkan bacaan IPU 177, manakala Kuala Lumpur turut merekodkan bacaan tidak sihat di Cheras (174) dan Batu Muda (166).

Di Perak, kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah Tanjung Malim (174), Seri Manjung (173), Pegoh Ipoh (153) dan Tasek Ipoh (151).

Di Pahang, kawasan terbabit ialah Temerloh (158), Jerantut (156), Rompin (154) dan Indera Mahkota, Kuantan (135).

Sementara itu, Kemaman di Terengganu merekodkan bacaan IPU 138, Sandakan di Sabah (125) dan Samarahan di Sarawak (117).

Sebanyak 34 kawasan lain di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan merekodkan bacaan pada tahap baik.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 berada pada tahap berbahaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!