X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan jamin identiti Kampong Bharu dikekalkan

Khalid Abd Samad. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan memberi jaminan identiti Kampong Bharu dikekalkan serta terus memartabatkan ciri-ciri kemelayuan dan keislaman yang wujud lebih 100 tahun di tengah ibu kota Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, sehubungan itu pihaknya merancang menyediakan beberapa pembangunan khas seperti pusat persembahan Teater Melayu, projek Taman Warisan Melayu selain mengekalkan beberapa bangunan seperti Masjid Kampung Baru dan Kelab Sultan Sulaiman.

"Nama-nama jalan juga dikekalkan. Penting bagi kita untuk membangunkan masyarakat Melayu di situ. Kalau di negara lain sekiranya kawasan milik sesuatu kaum tidak dibangunkan, mereka akan mendakwa telah didiskriminasi atau dianaktirikan oleh kerajaan.

"Kita mahu bina satu kawasan penempatan orang Melayu yang moden, lengkap, sempurna, selesa dan tersusun," katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif mengenai Pencapaian Kementerian Wilayah Persekutuan Sepanjang Tahun 2019 disiarkan secara langsung di TV1 Isnin malam.

Khalid berkata, pada hujung bulan lepas sehingga pertengahan tahun depan, kementeriannya melakukan pertemuan secara berkumpulan dengan pemilik dan pewaris untuk mendapatkan persetujuan serta menjelaskan tujuan kerajaan membangunkan Kampung Baru.

"Setakat ini kementerian telah menerima maklumat balas daripada 40 peratus penduduk Kampung Baru. Kita mahu memberikan penjelasan tepat kepada penduduk dan pewaris bahawa soal rampas tanah tidak timbul. Saya yakin tawaran yang diberikan adalah cukup baik,” katanya mengenai tawaran sebanyak RM1,000 bagi satu kaki persegi tanah kampung itu.

Dalam pada itu, Khalid berazam agar Pelan Pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur 2040 dapat dilaksanakan seperti mana dirancang dalam usaha membetulkan pembangunan yang selama ini tidak mengikut perancangan yang sepatutnya.

"Sebenarnya banyak masalah di Wilayah Persekutuan terutama di Kuala Lumpur memandangkan terdapat pembangunan tidak mengikut undang-undang atau rancangan induk yang ditetapkan ada yang tersasar. Jadi sekarang kita nak betulkan keadaan ini dan sudah tentu perubahan yang akan dilakukan nanti akan mendapat bantahan.

"Jika mahu menilai pencapaian sebenar. Rasanya masih banyak yang perlu dilakukan dan ia mustahil dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Kebanyakannya ‘sedang dalam pelaksanaan’. Kita harap tahun 2020 nanti akan lebih banyak pencapaian yang boleh dibanggakan dengan kadar yang munasabah," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!