Perlindungan kanak-kanak perlu tindakan konkrit - CPSM

KUALA LUMPUR - Usaha melindungi kanak-kanak daripada ancaman keselamatan perlu melangkaui kempen kesedaran dengan memperkukuh sistem perlindungan serta kerjasama antara keluarga, sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa.
Presiden Children’s Protection Society Malaysia (CPSM), Datuk Seri Nazir Ariff berkata, tanggungjawab melindungi kanak-kanak tidak boleh diletakkan pada satu organisasi atau institusi sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak bagi memastikan golongan itu mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.
Menurutnya, usaha berterusan itu perlu dilaksanakan bagi memastikan kanak-kanak dilindungi daripada bahaya, selain memperkukuh sistem dan tanggungjawab bersama dalam menangani isu berkenaan.
"Perlindungan kanak-kanak tidak boleh bergantung kepada satu organisasi atau institusi sahaja, sebaliknya ia memerlukan kerjasama keluarga, sekolah, masyarakat dan pihak berkuasa berkaitan.
"Kita perlu bergerak melangkaui kesedaran dan memperkukuh sistem serta tanggungjawab bersama bagi memastikan kanak-kanak sentiasa selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Persidangan Kepimpinan Perlindungan Kanak-kanak Kebangsaan 2026 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Persidangan itu anjuran CPSM Cawangan Kuala Lumpur dengan kerjasama Women Economic Forum (WEF) dan G100 Global Meet 2026.
Persidangan itu memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu melindungi, memperkasa, mendidik dan melaporkan bagi memperkukuh usaha memastikan keselamatan serta kebajikan kanak-kanak.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan berangkat pada persidangan itu.
Pengerusi CPSM Cawangan Kuala Lumpur, Tengku Datuk Asra Jehan berkata, kerjasama dengan WEF dan G100 Global Meet 2026 membuka ruang untuk mengangkat isu perlindungan kanak-kanak dalam perbincangan lebih luas berkaitan kepimpinan, pemerkasaan dan pembangunan negara.
Beliau berkata, 'Policy Lab' yang menjadi sebahagian daripada usaha penting bagi mengenal pasti jurang serta membangunkan cadangan praktikal untuk memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

